SELANGOR

FOMCA : Faktor gaji dorong minat golongan muda kepada politik

Oleh : Hafizan Taib

SHAH ALAM 5 DIS : Kenaikan gaji anggota pentadbiran kerajaan Selangor wajar dan berpatutan dengan keadaan semasa serta mampu menimbulkan minat golongan muda profesional menyertai politik secara serius.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Shani Abdullah, kenaikan gaji yang dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dipersetujui dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) adalah relevan serta setimpal dengan tanggungjawab juga kedudukan sebagai wakil rakyat.

shani“Saya rasa terkejut Timbalan Speaker mendapat elaun terlalu rendah (RM3,327.50) berbanding dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu RM6,000. Jadi apa yang diluluskan DNS adalah berpatutan.

“Mungkin daripada kadar kenaikan menunjukkan satu lonjakan tinggi tetapi mengikut kos sara hidup, sewa rumah dan keperluan lain, memperlihatkan kadar yang diluluskan adalah berpatutan.

“Memang ini juga adalah satu objektif untuk menarik golongan muda profesional berkebolehan dan berbakat daripada segi kepimpinan dan pengurusan untuk menawar diri berkhidmat dalam politik serta turun kepada rakyat,” katanya kepada Selangor Kini di sini, semalam.

Mohd Shani berkata, kenaikan gaji dengan kadar baru bagi Menteri Besar, Speaker, Timbalam Speaker, Exco dan ADUN Selangor itu tidak harus dijadikan isu kerana ia memberi kesan positif kepada golongan berkenaan terutama bagi mencegah salah guna kuasa serta rasuah.

Beliau berkata, salah satu objektif mengapa imbuhan kepada pegawai awam tidak terlalu rendah adalah untuk mengelakkan diri terjebak dengan perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang negara.

“Penyalahgunaan kuasa dan rasuah tetap akan berlaku jika kerajaan tidak mengambil serius dalam usaha menanganinya melalui peraturan yang dikuatkuasakan.

“Dalam keadaan elaun RM6,000 sebulan, ia adalah kadar yang begitu rendah bagi golongan profesional yang mempunyai kemampuan untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Kadar imbuhan juga harus setimpal dengan apa yang mereka boleh dapat dalam sektor awam atau swasta.

“Kalau kita bandingkan bagi penjawat Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa), RM6,000 hampir separuh daripada gaji Jusa. Bagi ketua di kerajaan negeri, mereka mesti berkedudukan kewangan bebas dengan kadar pendapatan berpatutan supaya boleh bertindak tanpa perlu bergantung kepada pihak lain,” katanya.

Sidang DNS baru-baru ini meluluskan kenaikan gaji bagi Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, Exco dan ADUN, berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Struktur gaji baru itu membabitkan Menteri Besar daripada RM14,175.50 kepada RM29,250; Speaker daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750; Exco daripada RM6,109.29 kepada RM20,250 dan ADUN daripada RM6,000 kepada RM11,250.

-NFN-


Pengarang :