Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Jingga 13 sangkal dakwaan polis perhimpunan ada ‘bom tangan’

ccsb-ads

Oleh Amizudin Ahmat

JINGGA 13 Malaysia menyangkal dan membantah serta menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh bahawa JINGGA 13 bersama Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Solidariti Anak Muda Malaysia serta Solidariti Mahasiswa Malaysia akan menimbulkan kekacauan serta membawa pelbagai senjata termasuk bom tangan bagi melakukan kekecohan di Dataran Merdeka pada 31 Disember 2013.

IMG-20131229-WA083-715779

JINGGA 13 mendesak pihak polis mengemukakan bukti bahawa Jingga 13 terlibat dengan segala pertuduhan tersebut dan bukannya berdasarkandaripada risikan yang ternyata dangkal, berniat jahat dan berunsur fitnah yang melampau serta tidak masuk akal.

JINGGA 13 tidak pernah sama sekali mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan kepada mana-mana pihak sama ada melalui apa jua instrumen merancang untuk mengadakan kekacauan , apa lagi bersabit penggunaan senjata dan bom tangan bagi tujuan melakukan kekacauan dan keganasanbagi tujuan mengulingkan kerajaan.

JINGGA 13 menganggap dakwaan tersebut hanyalah untuk mengalihkan isu besar mengenai ‘kenaikan berantai’ harga barang yang ternyata membebankan rakyat dan JINGGA 13 akan terus komited membantah isu ‘kenaikan berantai’ harga barang tersebut.

JINGGA 13 tegas menyatakan bahawa segala tuduhan jahat yang dikaitkan dengan JINGGA 13 adalah merupakan fitnah serta bertujuan memburukkan imej kami serta bertujuan menakut-nakutkan rakyat dengan isu kekacauan, huru hara, senjata dan bom tangan.

JINGGA 13 juga mendesak agar Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur menarik balik dakwaan tersebut dan jika tidak, pihak JINGGA 13 juga telah melantik peguam dan tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman fitnah terhadap PDRM, TV3 dan Utusan.

* Amizudin Ahmat ialah Timbalan Koordinator Jingga 13 Malaysia


Pengarang :