Selangorkini
NASIONAL

Kerajaan pusat ‘double standard’ pinda Akta Cukai 1967

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 5 DIS : Kerajaan pusat didakwa bersikap ‘double standard’ apabila membentangkan pindaan Akta Cukai 1967 yang menetapkan sebarang pengeluaran simpanan daripada Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun akan dikenakan cukai penuh.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata tindakan itu jelas bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan keuntungan dan pendapatan daripada skim itu akan dikecualikan daripada cukai untuk menggalakkan pendaftaran pekerja swasta, pada Julai 2012.

RafiziRafizi berkata, perkara itu sudah menjadi amalan Barisan Nasional (BN) sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkiri selepas tamat pilihan raya.

“Jawapan Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam skim itu mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat.

“Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan sehingga maksima RM3000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) tetapi tabungan di dalam skim ini kebnyakannya melebihi RM3000 setahun. Dengan pindaan ini, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi daripada pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, pindaan akta itu juga meluaskan kuasa kerajaan untuk mengutip cukai syarikat daripada pemegang saham melebihi 20 peratus atau individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sesebuah syarikat.

Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, pemegang saham juga terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun mereka tidak terbabit dalam sebarang urusan pengurusan.

“Pindaan ini seperti menghapuskan pemisah (“corporate veil”) antara liabiliti syarikat dan individu atau pemegang saham yang menjadi asas pensyarikatan. Ia bertujuan membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat dan syarikat walaupun meningkat secara purata 10 peratus setiap tahun, sejak tiga tahun kebelakangan ini,” katanya.

Rafizi turut mencabar kerajaan supaya menggunakan pendekatan sama terhadap individu yang terbabit dalam skandal kewangan negara jika ingin menghapuskan pemisah antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai.

NFC- Shahrizat & Salleh“Ini termasuk menghapuskan pemisah antara Pengarah National Feedlot Corporation (NFC) daripada syarikat NFC dalam soal hutang RM250 juta yang diambil daripada kerajaan.

“Oleh kerana pindaan akta ini menghapuskan “corporate veil”, maka Pengarah NFC daripada keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu segera membayar RM250 juta itu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :