Selangorkini
SELANGOR

Pakatan sambut baik usaha ADUN potong 20% gaji bulanan

Oleh :NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 2 DIS : DAP dan PAS menyambut baik usaha PKR negeri yang akan membuat potongan gaji bulanan 20 peratus daripada jumlah kenaikan sebagai usaha membiayai program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan Keadilan Anak Selangor.

Timbalan Setiausaha DAP negeri, Ng Suee Lim, berkata beliau menghormati keputusan terbabit dan pihaknya juga bersedia jika DAP juga mengikuti jejak langkah inisiatif terbabit.

ngsueelimBagaimanapun, katanya, langkah itu tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi dan akur dengan sebarang keputusan yang bakal ditempatkan.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat PKR, namun setiap parti mempunyai kaedah masing-masing untuk menangani masalah itu. Kita tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi dan buat masa ini tiada sebarang arahan dikeluarkan.

“Walaubagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sentiasa dari semasa ke semasa menyalurkan pelbagai bantuan kepada fakir miskin atas kapasiti peribadi dan parti kerana kami percaya amal jariah itu besar maknanya dan membawa keberkatan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau yang juga ADUN Sekinchan turut menyeru semua ADUN Pakatan Rakyat (PR) supaya fokus kepada kawasan dan meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat kerana enakmen kenaikan gaji sudah diluluskan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Rani Osman, berkata PAS Selangor sudah memulakan langkah itu sejak awal 2008 apabila 30 peratus daripada gaji bulanan dipotong untuk disalurkan kepada kebajikan.

DR.RANI OSMAN PIC“Ia membabitkan 20 peratus untuk negeri dan 10 peratus kepada kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing. Langkah PKR untuk memotong gaji itu adalah usaha yang baik dalam membantu rakyat negeri ini,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kenaikan elaun ADUN menjadikan kadar gaji baru bagi mereka RM11,250; Timbalan speaker RM15,750; Speaker RM22,500; Exco RM20,250 dan Menteri Besar RM29,250.

Manakala, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap ADUN PKR menyumbang RM1,000 sebulan atau 20 peratus daripada jumlah kenaikan gaji bulanan.

-NFN-


Pengarang :