NASIONAL

Kualiti perbahasan Dewan Rakyat lemah, perlu dibaiki

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 5 DIS : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menggesa jawatankuasa Parlimen supaya memperbaiki kualiti perbahasan di Dewan Rakyat kerana tidak memuaskan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, berkata kebanyakan isu yang dibangkitkan wakil rakyat terutama daripada pembangkang tidak dijawab secara jelas kementerian bertanggungjawab.

Katanya, adakala perbahasan juga sengaja disingkatkan untuk mengelak pertanyaan lanjut daripada wakil rakyat terutama jika isu berkenaan menarik perhatian ramai.

zuraida speech oren 01“Saya cadangkan supaya sesi perbahasan itu dilanjutkan (tambah masa) supaya setiap soalan berbangkit mendapat jawapan berkualiti.

“Jabatan Parlimen juga mesti pastikan menteri sepatutnya menjawab soalan yang dikemukakan kerana mereka lebih arif,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Perkara itu disokong Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang meminta Speaker memastikan setiap kementerian menyediakan jawapan bertulis lebih awal sebagai rujukan wakil rakyat.

mahfuz omarKatanya, kebanyakan soalan bertulis yang dikemukakan wakil rakyat tidak pernah dibalas kementerian bertanggungjawab sehingga tamat sesi perbahasan Dewan Rakyat.

“Kita sudah kemukakan soalan itu sejak awal lagi, jadi seharusnya kementerian tidak ada masalah untuk memberi jawapan dengan cepat.

“Lebih mudah untuk setiap Kementerian menyediakan jawapan kepada soalan bertulis daripada hari pertama sidang sebagai rujukan kepada perbahasan seterusnya. Pihak Parlimen atau Speaker perlu berunding dengan kerajaan supayajawapan bertulis itu mesti diletakkan atas meja wakil rakyat pada hari pertama persidangan,” katanya.

Gesaan itu dibidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengatakan kualiti perbahasan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) adalah jauh lebih baik berbanding pembangkang.

-NFN-


Pengarang :