Selangorkini
NASIONAL

Mahkamah tolak rayuan Utusan atas kes bidaan plat WWW1

KUALA LUMPUR : Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan yang dibuat Utusan Melayu (M) Berhad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu bidaan plat WWW1, semalam.

Memetik laporan Harakah Daily, Utusan sebelum ini diperintahkan membayar ganti rugi RM250,000 beserta faedah lima peratus setahun sehingga penyelesaian penuh dan kos RM30,000 kepada mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Hakim Zaharah Ibrahim yang mempengerusikan tiga panel hakim memutuskan bahawa keputusan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini adalah benar.

Datuk Seri Mohammad NizarMahkamah mendapati bahawa hujahan responden adalah benar bahawa Utusan memutar belit kenyataan yang dibuat Mohammad Nizar melalui laman Twitter beliau, bertarikh 28 Mei 2012.

Mahkamah juga memutuskan penulis berita berkenaan yang bertarikh 31 Mei 2012 itu tahu akan kandungan sebenar Twitter Mohammad Nizar tetapi sengaja menulis lain daripada apa yang dinyatakan olehnya.

Penulis berita terbabit juga didakwa tidak mengamalkan etika kewartawanan yang betul dengan tidak bertindak cermat didalam melaporkan berita berhubung isu terbabit dan Mahkamah Rayuan turut mengarah Utusan membayar kos tambahan RM20,000.

Mohammad Nizar diwakili dua peguam Mohd Fitri Asmuni dan Mohamad Zamri Ibrahim melalui tetuan Awi & Co, manakala Utusan diwakili Datuk Firuz Hussien daripada firma tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

-NFN-


Pengarang :