Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

Perutusan MB Selangor sempena tahun baru 2014

Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh dan Selamat sejahtera kepada rakyat negeri Selangor Darul Ehsan yang prihatin lagi budiman.

Insya-Allah, pada Selasa 31 Disember 2013, sejurus selepas jam 12.00 malam bersamaan 28 Safar 1435 Hijriah, kita di Selangor dan di Malaysia, menyambut  Tahun Baharu 2014.

Saya yakin dan percaya, rakyat Selangor khususnya sudah siap siaga bagi mengharung tahun 2014 yang dijangka menghimpit ruang kehidupan, antaranya yang pasti disebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang sekali gus meningkatkan kos sara hidup sesama kita.

khalidAntara beban yang diderita sama sejak suku akhir tahun 2013 lagi adalah kenaikan harga petrol, gula dan minyak masak. Pada awal tahun 2014 ruang beban kenaikan harga dijangka melebar meliputikenaikan tarif elektrik, harga gas, harga beras,  tiket pengangkutan awam dan  kadar tol di lebuh raya. Bahkan  kenaikan harga semuanya itu dijangka menggamit kenaikan harga rumah kediaman yang diklasifikasikan “rumah mampu milik”.

Oleh itu, di kesempatan ini, saya perlu menegaskan bahawa Pakatan Rakyat  Selangor, dengan kuasa negeri yang terhad dalam soal menentukan harga barangan keperluan dan perkhidmatan serta kediaman ini, sentiasa mengamalkan dasar kebajikan secara saksama dalam usaha memelihara kepentingan rakyat majmuk di negeri ini yang berjumlah lebih 5.6 juta orang.

Ia bermakna, peluang sama rata diberikan kepada seluruh rakyat yang menetap di Selangor bagi menikmati hasil negeri tanpa mengambil kira asal keturunan atau kedudukan mereka. Saya memberi jaminan bahawa sejak Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Selangor pada Mac 2008, kita tidak mengamalkan  fahaman populis, sosialis dan sebagainya, sebaliknya program-program kebajikan dalam dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor adalah berterusan dan diterima baik oleh majoriti rakyat negeri ini.

Ia terbukti apabila Pakatan Rakyat mengekalkan Kerajaan Negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu, bahkan mendapat pertambahan kerusi hingga melebihi 2/3 majoriti, iaitu 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri. Oleh sebab dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor diterima dan memanfaatkan rakyat maka kita mahu meneruskannya supaya pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh demi kemaslahatan rakyat dan kemakmuran negeri.

Dalam Belanjawan Negeri Selangor bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri meneruskan perbelanjaan berimbang serta pengurusan kewangan berkelas, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.28 bilion bagi kemaslahatan rakyat dan negeri Selangor Darul Ehsan. Saya, selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, berusaha bagi memastikan semua wakil rakyat serta penjawat awam dan pimpinan masyarakat di seluruh negeri menggalas tugas dan tanggungjawab mensejahterakan rakyat Selangor ini dengan ikhlas tanpa culas.

Antara usaha Pakatan Rakyat untuk meringankan beban rakyat pada tahun 2014 adalah dengan menyediakan perkhidmatan bas percuma, mengekalkan cukai presis kediaman, menyediakan rumah mampu milik dan menambah peruntukan beberapa program dan skim yang sedia ada dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

pakatanPada masa yang sama Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahu keupayaan rakyat ditingkatkan  bukan sekadar menerima pelbagai bantuan kebajikan, antaranya menerusi pembangunan desa yang dijangka laksanakan di kesemua daerah di negeri Selangor mulai tahun 2014. Kerajaan Selangor juga menggiatkan  penyertaan golongan wanita, belia dan pesara dalam aktiviti keusahawanan dan  kreativiti lain yang dapat menjana pendapatan.

Ucapan terima kasih wajar saya sampaikan kepada rakyat negeri Selangor kerana memberi sokongan dan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk meneruskan Pentadbiran di negeri Selangor bagi penggal kedua selepas kemenangan paling bergaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. 

Dengan sokongan dan kerjasama rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dapat meneruskan kecemerlangan dalam usaha meningkatkan taraf hidup setiap rakyat tanpa mengamalkan unsur-unsur diskriminasi  menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor. Kita juga bertekad untuk mengurus sumber negeri dengan telus dan penuh integriti sebagaimana dijanjikan dalam manifesto PRU Ke-13 lalu.

Demi keharmonian yang berkekalan, saya percaya rakyat berbilang kaum dan agama sertabudaya di Selangor sedia mengambil maklum akan titah Sultan Selangor Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj  supaya setiap rakyat menghormati kebebasan beragama dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang perasaan marah atau berlakunya perkara tidak diingini.

Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan bahkan selaridengan peringatan Allah dalam surah al-Hujarat, ayat 13, agar setiap kaum yang berlainan bangsa dan budaya saling mengenal dan hormat menghormati, demikian juga firman Allah dalam surah al-An’am, ayat 108, yang melarang  umat Islam  menghina atau mencerca berhala dan sembahan agama-agama selain Islam.

Akhir kata, saya bagi pihak barisan pemimpin Kerajaan Negeri Selangor dan kalangan penjawat awam mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakyat, sama ada warga jati  Selangor ataupun warga negeri lain dan pekerja asing, kerana kesediaan bekerja bersama saya dan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor dalam tempoh penggal kedua ini bagi meneruskan kecemerlangan demi kesejahteraan dan kemakmuran.

Marilah berdoa semoga Allah Subhanahuwataala sentiasa memberi petunjuk, perlindungan dan keberkatan terhadap usaha kita semua bagi meneruskan kemajuan di samping mengukuhkan perpaduan di negeri Selangor Darul Ehsan di sepanjang tahun 2014, dan tahun-tahun berikutnya.

Sekianlah sahaja,  dan terimalah ucapan ikhlas;  “Selamat Tahun Baharu 2014”.

Wassalamualaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh, Salam Ceria dan Salam Perpaduan.

* Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor


Pengarang :