Selangorkini
NASIONAL

Naik Tol, satu lagi janji BN ‘kenakan’ rakyat ditepati

Oleh : Norhayati Umor

SHAH ALAM 15 DIS : Kenaikan kadar tol yang dijangka bermula tahun hadapan merupakan satu lagi janji Barisan Nasional (BN) untuk mengenakan rakyat ditepati, kata Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Shari.

Beliau berkata perkara terbabit sudah dijangka dan sentiasa berlaku selepas Barisan Nasional memenangi pilihanraya umum.

yahya shari 01Katanya, sudah menjadi satu kemestian dalam pentadbiran kerajaan yang ditadbir BN untuk membuat rakyat terbeban dan menderita ekoran kegagalan mentadbir negara dengan baik.

Beliau menganggap tol yang sedia ada sudah cukup membebankan rakyat dan kini secara berterusan kerajaan menindas rakyat dengan kenaikan kadar tol yang baru.

“Seperti biasa ia satu lagi janji BN untuk mengenakan rakyat ditepati sedangkan tol yang sedia ada sudah cukup membebankan rakyat.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana secara berterusan kerajaan bawah pimpinan BN menindas rakyat,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

turun3Yahya turut menggesa Kerajaan Pusat supaya mengkaji semula persetujuan untuk membenarkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol itu selepas semakan perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya dilakukan.

“Jangan hanya kerana satu perjanjian itu menyebabkan rakyat terus menderita dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kita juga menuntut kerajaan supaya menyemak semula perjanjian berat sebelah itu kerana ia semakin rakus dan tidak akan mempedulikan beban hidup rakyat yang semakin melonjak,” katanya.

Desas-desus kadar tol akan dinaikkan tersebar meluas ketika pengguna bakal dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 16 bulan lagi dan pelbagai kenaikan lain antaranya caj elektrik, pengangkutan awam dan gula.

“Kenapa hendak buat kenaikan-kenaikan yang begitu tinggi apabila dalam satu keadaan masyarakat-masyarakat kita sedang dibebani kenaikan harga barang yang begitu teruk.

“Dan saya baru berjumpa dengan enam kawasan di Selangor, berjumpa pemimpin dan warga masyarakat yang tertekan, mereka ialah golongan sasaran dan kenaikan harga petrol dan bagai akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya kepada Antarapos.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kemungkinan beberapa syarikat konsesi tol di Malaysia akan menaikkan kadar tol pada 2014.

Antara senarai tol yang terlibat dengan kenaikan kadar tol kali ini ialah Tol Lebuhraya BESRAYA, NPE, LDP, AKLEH, BORR, SILK, MEX, LEKAS, SDE, SPRINT, SKVE, SMART dan GCE.

-EZY


Pengarang :