Selangorkini
SELANGOR

Penduduk batal demo, puas hati isu tutup Jalan PJS 1/52

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 11 DIS : Penduduk Petaling Utama berpuas hati apabila dialog yang diadakan berjaya mencapai penyelesaian sementara dalam isu penutupan jalan PJS 1/52 yang menghubungkan Petaling Utama dan Taman Kanagapuram, di sini, semalam.

Penyelesaian sementara itu  dicapai dalam majlis dialog antara penduduk dua taman itu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha; ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

DSC_0027Penduduk bersetuju Jalan PJS 1/52 tidak ditutup sehingga Haniza dan Rajiv mengadakan perbincangan dengan polis trafik dan pengendali lebuh raya, New Pantai Expressway (NPE) dalam masa terdekat.

Haniza berkata, hasil perbincangan antara mereka bersama pihak polis dan NPE itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Majlis MBPJ Januari ini.

“Seharusnya, perbincangan seperti ini diadakan sebelum keputusan dibuat supaya kita dengar pandangan kedua-dua pihak tetapi tiada perbincangan dan mereka terus buat keputusan tutup jalan.

“Ia menyebabkan penduduk rasa diketepi kerana mereka sudah menggunakan laluan berkenaan sejak sekian lama sejak masih kampung setinggan. Laluan menjadi jauh dan membabitkan kos sejak dibangunkan lebuh raya.

“Bagi penduduk berpendapatan rendah, semua faktor ini perlu difikirkan kerana ia  memberi kesan kepada mereka dan keluarga,” katanya selepas menghadiri dialog yang dihadiri hampir 50 penduduk setempat.

Sementara itu, Rajiv berharap satu keputusan kekal yang dapat memuaskan hati semua pihak  dicapai dalam mesyuarat Ahli Majlis MBPJ kelak.

“Saya dan wakil penduduk kedua-dua belah pihak juga akan mengadakan bancian jumlah rumah di Taman Kanagapuram yang didiami,” katanya.

DSC_0053Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Petaling Utama Blok C dan D, S Sendereprakasam, pula berkata penduduk bersetuju membatal demontrasi memprotes penutupan jalan seperti yang dirancang sebelum ini.

“Kami berpuas hati dengan keputusan perbincangan  dan tidak perlu demontrasi. Kami tidak gemar mengadakan demontrasi tetapi hanya berbuat demikian jika tidak ada jalan lain.

“Kalau laluan ini ditutup, kami terpaksa berpusing lebih lima kilometer dengan jalan sesak waktu pagi berbanding  hanya lebih kurang satu kilometer,” katanya.

Beliau berkata, Jalan PJS 1/52 ketika ini sering digunakan sebagai jalan utama kebanyakan penduduk menghantar anak ke sekolah dan tempat kerja.

Sebelum ini, penduduk Petaling Utama merancang mengadakan demontrasi bagi memprotes keputusan menutup Jalan PJS 1/52 yang bermula, pada 12 Disember ini.

-NFN- FZL


Pengarang :