Selangorkini
NASIONAL

Protes Ambang 2014 : GST batal jika gagal dilaksana 2015

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KAJANG 31 DIS: Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yakin Barisan Nasional (BN) akan menarik semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika cukai yang menindas rakyat itu tidak dapat dilaksanakan, pada April 2015.

Rafizi berkata, jangkaan itu berdasarkan perkiraan bahawa ‘mood’ rakyat dan parti politik negara ini sudah mula dilanda bahang pilihan raya menjelang 2016, sekali gus menjadikan BN terpaksa berfikir banyak kali untuk melaksanakannya selepas 2015.

Rafizi1-179x300“Kalau kerajaan pusat gagal laksana GST pada April 2015, mereka sudah tidak boleh buat kerana kalau terlepas 2015, kena buat 2016 tetapi sudah dekat dengan 2017. Pada 2017 atau awal 2018, boleh diadakan pilihan raya jadi saya yakin kerajaan pusat tidak berani.

“Kalau kita tengok GST ini sebenarnya daripada 2005 lagi ditunda 2007 tetapi 2008 apabila tiba masa pilihan raya ia tidak jadi dilaksanakan. Pada 2009, pimpinan BN bentangkan di Parlimen tetapi masih tidak kerana takut.

“Kalau ramai yang turun padnag bantah dan beri penerangan kepada rakyat secukupnya, saya yakin GST tidak akan berlaku. Kalau kita berjaya kubur BN dan ada kerajaan baru Pakatan Rakyat (PR), maka rakyat selamat,” katanya dalam Wacana Pemuda Turun Kos Sara Hidup yang diadakan di Hotel KK, di sini, baru-baru ini.

Rafizi berkata, rakyat diseru turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka pada malam ini untuk bersama dalam gerakan ‘Protes Rakyat Ambang 2014’ nanti.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, berkata sejarah membuktikan tekanan berterusan daripada rakyat mampu mengubah keputusan kerajaan.

“Dahulu, ada siri demonstrasi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk menuntut pilihan raya adil, akhirnya kerajaan tunduk walaupun tidak semua tuntutan dilaksanakan tetapi sedikit sebanyak mereka ikut cakap kita. Mereka tunduk kepada tekanan rakyat akhirnya,” katanya.

Malam ini, Protes Ambang 2014 membabitkan masyarakat daripada pelbagai lapisan diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka bagi membantah siri kenaikan harga perkhidmatan dan barangan keperluan, sekali gus menekan kehidupan rakyat.

-NFN-


Pengarang :