Selangorkini
NASIONAL

Rafizi : Penjualan aset negara bukti pengurusan kewangan pimpinan Najib terdesak

Oleh : Norhayati Umor

PETALING JAYA 26 DIS: Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyelar kenyataan Kementerian Kewangan yang mendakwa beliau memutar belit isu penjualan aset kerajaan.

Rafizi berkata, kementeria itu hanya memberikan alasan bahawa penjualan aset dan pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan adalah perkara biasa yang berlaku sebelum ini, bahkan tidak menafikan laporan Bank Dunia dalam beberapa perkara.

Rafizi1-179x300Minggu lalu, Rafizi mendedahkan laporan Bank Dunia yang menyatakan kerajaan pusat menjual aset negara bagi mengurangkan defisit ke paras empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, laporan Bank Dunia turut menyentuh pendapatan kerajaan pusat akan dijana RM1.4 bilion daripada aktiviti penjualan aset dan RM4.2 bilion daripada sekuriti hutang daripada aset negara.

“Kenyataan itu tidak dinafikan dan kementerian hanya menyebut perkara biasa sahaja. Mengapa tidak menjawab dalam konteks laporan Bank Dunia.

“Ini menunjukkan Kementerian Kewangan tidak boleh menafikan fakta yang dibentangkan Bank Dunia berkenaan terdesaknya pentadbiran Najib dalam mencapai sasaran defisit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, tindakan kementerian yang tidak menafikan perkara itu membuktikan kerajaan pusat mengakui laporan itu benar dan aset negara sudah dijual serta digadai untuk mendapatkan pendapatan tidak dirancang bagi mencapai sasaran defisit negara.

Beliau berkata, kaedah pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan akan terus digunakan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan tambahan, namun perkara itu akan memberikan kesan peminjam.

“Memang mereka (kementerian) kata ia bukan sumber utama dan hanya mencakupi 1.9 peratus daripada hasil kerajaan pusat. Namun, RM1.4 bilion itu satu nilai besar yang boleh digunakan untuk pelbagai perkara.

“Mereka perlu faham, walaupun amalan yang dimulakan sejak 2004, pensekuritian pinjaman perumahan menjadi salah satu punca krisis kewangan subprima yang melanda Amerika Syarikat dalam tahun 2007 dan 2008,” katanya.

Rafizi berkata, tindakan itu mempunyai risiko tersendiri kerana rumah yang dibeli peminjam digadai dalam pasaran sekunder kepada pelabur yang mereka tidak ketahui.

“Pensekuritian membabitkan kerajaan menjual portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan kepada pelabur melalui penerbitan bon. Ini bermakna kakitangan kerajaan secara tidak langsung berhutang dengan pelabur yang membeli bon diterbitkan melalui kaedah pensekuritian itu,” katanya.

Katanya, satu-satunya cara untuk mencapai defisit empat peratus yang diumumkan Najib adalah dengan menjual dan menggadai lebih banyak aset kerajaan yang tidak dirancang serta diunjurkan ketika pembantangan Belanjawan 2013.

“Hakikat bahawa kerajaan pusat menjual aset negara dan menggadaikan pinjaman perumahan itu membuktikan terdesaknya pengurusan kewangan di bawah pimpinan Najib,” katanya.

-NFN-


Pengarang :