Selangorkini
NASIONAL

Rakyat makin bengang, lepas kemarahan di Facebook Najib

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 31 DIS: Kurang 24 jam menjelang tahun baru 2014, akaun Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus dihujani pelbagai kecaman, kritikan dan sindiran pengguna laman sosial itu.

Mengikut bancian Selangor Kini ke atas 100 komen pertama dalam status yang menyentuh isu program pengajian perubatan serta bantuan biasiswa, 60 pengguna akaun Facebook memberi komen negatif dengan menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung langkah kerajaan menaikkan harga perkhidmatan dan barangan keperluan berbanding 14 komentar positif.

Datuk-Seri-Najib-Tun-Razak1Lapan komen lain pula disifatkan sebagai cadangan menyokong atau menentang kenaikan harga barangan yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan menggesa kerajaan memperbanyak pegawai perubatan wanita dan mengatasi  isu peluang pekerjaan pegawai perubatan di hospital menjelang 2015.

Laman Facebook itu juga menunjukkan kira-kira 14 komen – walaupun merapu dan tidak menunjukkan sebarang kecenderungan – tetapi boleh dianggap sebagai hilang rasa hormat terhadap Perdana Menteri keenam itu.

Antara komen merapu itu, termasuk komen daripada Helmy VII: “Hai Najib, betol ke sisa makanan di celah gusi punca kaviti?” manakala Hershel Tan: “I smell something around here, not sure what is that smell. My nose sense not strong enough” dan Syed Forza Raha bertanya: “Adakah benar dakwaan RM14 Juta dibelanjakan untuk sambutan tahun baru malam nanti?”

Lebih kurang 10 komen di Facebook Najib  dengan nada sinis mengajak beliau menyertai perhimpunan Protes Ambang 2014 bagi ‘menggulingkan’ harga barangan keperluan.

Walaupun statistik komen di Facebook itu tidak boleh dianggap sebagai pengukur sebenar penolakan atau sokongan rakyat tetapi Najib sebelum ini pernah berbangga dengan jumlah pengikutnya seramai lebih dua juta.

Pemerhatian Selangor Kini menunjukkan Facebook Najib semakin dikuasai golongan yang menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menjadikan laman sosial itu sebagai tempat melepaskan kemarahan, sejak kebelakangan ini.

-NFN- FZL


Pengarang :