Rumah Puteri Arafiah: Rawatan buat ‘perempuan mangsa’ | Selangorkini


Rumah Puteri Arafiah: Rawatan buat ‘perempuan mangsa’

Oleh Naeem Raffi
KAJIAN Close Personal Protection Training & Services (CPPTS) menunjukkan kira-kira 90 peratus remaja dan perempuan yang dicabul atau dirogol  dilakukan orang yang dikenali.

Lebih memeranjatkan, 60 peratus mangsa tidak melapor kejadian itu atas sebab malu, tidak mahu maruah keluarga tercalar atau khuatir campur tangan keluarga.

Bayangkan, anak-anak gadis seawal usia belasan tahun yang terlanjur, dirogol atau terlibat dengan sumbang mahram.


Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Secekal manapun hati mereka untuk menutup kecelaruan itu, keresahan pasti terserlah pada raut wajah mereka.

Namun, seberat manapun kesalahan lampau, seseorang itu wajar diberi peluang kedua, tidak kira sama ada ia berpunca dari kejahilan diri mahupun kerakusan unsur luar.

Kewujudan Rumah Puteri Arafiah (RPA) sangat membantu. RPA memberi pelbagai pakej rangsangan kerohanian dan kemahiran kendiri kepada pelatih, mampu meringankan beban mereka.

Sejak ditubuh Jun 2011, RPA memberi perlindungan dan rawatan pemulihan kepada 50 pelatih berusia lingkungan 12 hingga 21 tahun. Kini, RPA mempunyai 21 pelatih yang masih menjalani sesi pemulihan.

IMG_1601

Sehingga 2013, penghuni datangnya dari Selangor (20), Wilayah Persekutuan (4), Melaka (5), Terengganu (3), Pahang (5), Johor (4), Negeri Sembilan (4) dan masing-masing satu dari Kedah, Perlis, Perak, Kelantan dan Pulau Pinang.

Seramai 27 daripada mereka menghuni RPA sejak 2011, enam (2012) dan 17 (2013). Antara mereka, ada seorang berusia seawal 12 tahun dan seorang 13 tahun.

Majoriti penghuni berusia 14 hingga 19 tahun iaitu 11 orang berusia 15 tahun, enam (16 tahun), 11 (17 tahun), lapan (18 tahun) dan tujuh (19 tahun). Dua lagi penghuni berusia 20 dan 21 tahun.

Sebenarnya, RPA ditubuhkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Negeri Selangor (Pekawanis) yang ditunjangi Puan Sri Salbiah Tunut, isteri kepada Menteri Besar Selangor.

Ia dikelola 10 kakitangan tetap dan tenaga pengajar separuh masa. Sekurang-kurangnya RM30,000 dibelanja setiap bulan untuk kos operasi, urus tadbir, latihan, penyelenggaraan dan keselamatan.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi penaja utama dengan membiayai sepenuhnya kos penyelenggaraan premis. Antara Jun hingga Disember 2013, RPA menerima sumbangan PKNS RM165,000.

Arafiah baru

RPA turut menerima penajaan daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga tidak ketinggalan menerusi Sumbangan Ar Riqob dengan menyediakan program kerohanian, kelas bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Menerusi program itu, tiga tenaga pengajar dari Mais ditugaskan mendidik pelatih di RPA selama tiga hari seminggu.

Perlahan-lahan, jati diri mereka dibina semula setapak demi setapak.

Cabarannya ialah mengenal pasti potensi terpendam setiap pelatih supaya mereka menghargai peluang dan menyakini ada tenang selepas ribut membadai.

Rumah Puteri ArafiahJusteru, RPA menyediakan khidmat bimbangan rohani meliputi pendidikan moral, bimbingan solat dan al-Quran, selain menjalani sesi kaunseling individu dan kelompok, bengkel motivasi, rekreasi dan aktiviti seni.

Kemahiran masakan, jahitan, berkebun, kraftangan dan pengendalian komputer turut diajar supaya mereka bersedia mendepani cabaran kehidupan sebenar.

Mengikut gambaran Setiausaha Eksekutif RPA, Noraini Samsudin, anak-anak gadis itu cuba mencari jalan pulang terutama mereka yang disisih masyarakat.

“Mereka seakan-akan kabur dan kusut mencari jalan keluar. Sehingga ada dalam kalangan mereka memilih berdiam diri dan merelakan mimpi ngeri terus membudaya,” katanya.

Tahun depan, RPA bercadang melaksanakan program lanjutan bagi memperkasa potensi diri setiap pelatih..

Pengetuanya, Nor Hayati Mohd Yussoff, berkata pelatih buat masa ini diberi kursus kemahiran menjahit secara profesional selain pelbagai kursus kemahiran lain pada masa akan datang.

unnamed“Sejak RPA dibuka, pelatih didedahkan dengan kemahiran diri seperti menjahit, memasak dan kraftangan. Namun ia hanya sekadar memupuk kemahiran kendiri dan sikap berdikari.

“Menerusi program lanjutan, pelatih akan diberi kursus terancang yang diajar tenaga pengajar profesional,” katanya.

Ia hasil kerjasama RPA dengan Institut Penilaian Negara (Inpens) bagi memastikan kemahiran yang dipelajari bakal menjadi  kerjaya dan sumber pendapatan mereka seusai tamat kursus.

“Setakat ini kita mempunyai tiga modul iaitu jahitan asas, baju kurung dan jubah.

“Impian kita, kemahiran itu nanti akan menjadikan mereka sebagai sebagai ejen masyarakat, khususnya muslimah untuk menutup aurat,” katanya, menambah ia juga terbuka kepada pelatih yang tamat tempoh pemulihan.

Hayati berkata, RPA memiliki 10 mesin jahitan komersial yang berkemampuan menjahit pelbagai jenis fabrik.

– FZL

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

About the contributor

Norway

Editor


Norway    Norway   Norway   Norway  

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION