Selangorkini
SELANGOR

Selangor tawar pinjaman pertanian, lahir lebih ramai petani muda

Oleh : NORHAYATI UMOR

TANJUNG SEPAT 30 DIS: Rakyat Selangor khususnya golongan muda digalakkan menyertai aktiviti pertanian melalui tawaran pinjaman yang akan diberikan kerejaan negeri, bermula tahun 2014.

Exco Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata rakyat Selangor boleh memulakan aktiviti pertanian secara individu atau berkelompok melalui pinjaman berkenaan.

kelapa-sallehenKatanya, lebih menarik apabila tawaran pinjaman itu tidak perlu dibayar semula dengan wang tunai tetapi melalui hasil pulangan yang diterima pengusaha.

“Bayaran balik melalui hasil pulangan itu bermaksud pendapatan diterima setiap bulan yang disahkan agensi terbabit.

“Selepas disahkan, pengusaha hanya perlu menunjukkan hasil pendapatannya kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan mereka tidak perlu membayar balik selepas pendapatan setiap bulan itu mencecah nilai pinjaman,” katanya ketika merasmikan Karnival Mesra Rakyat, di Pantai Kampung Batu Laut, di sini, semalam.

Sallehen berkata, pendekatan itu diambil supaya pengusaha bertindak mengusahakan pertanian mereka secara serius dan fokus untuk mendapatkan hasil lumayan seterusnya membantu menjana pendapatan keluarga.

“Pinjaman yang diberikan bukan untuk keuntungan, sebab itu kita tawarkan cara terbabit. Jika dulu, kita tidak berikan pinjaman, contohnya kita berikan mereka enjin bot untuk nelayan, malangnya mereka jual enjin itu.

“Jadi kita tidak mahu perkara itu berulang lagi, kita mahu bentuk sikap peladang atau petani supaya fokus,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta UPEN untuk menyediakan draf pinjaman itu kepada yang layak dan perhatian akan diberikan kepada pengusaha berkelompok dan golongan belia.

-NFN-


Pengarang :