SELANGOR

Tanpa kenaikan gaji, ADUN guna duit poket bantu rakyat

Oleh : Nazli Ibrahim

LEMBAH JAYA 6 DIS : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz mengakui pendapatannya bukan sahaja tidak mencukupi tetapi terpaksa memperuntukkan wang tambahan kira-kira RM1,000 setiap bulan bagi membantu masyarakat kawasan berkenaan.

Khasim berkata, beliau tetap bernasib baik kerana boleh mendapatkan wang tambahan yang diperlukan daripada perniagaan kejureteraan aluminium dan kaca yang sudah diusahakan, sejak lebih 20 tahun lalu.

IMG_6902“Perkara ini saya alami sendiri. Kalau dahulu sebelum menjadi ADUN, setiap pendapatan adalah seratus peratus hak mutlak saya tetapi hari ini orang yang bernama wakil rakyat yang betul-betul buat kerja, pendapatan RM6,000 itu adalah transit sahaja.

“Hakikatnya, bukan keseluruhan gaji diperoleh menjadi hak kami tetapi untuk rakyat dan bagi saya kenaikan yang diumumkan tidak begitu tinggi. Kalau tidak percaya boleh tanya orang yang selalu ikut saya pergi ke program atau datang dalam majlis seperti ini contohnya, yang mana saya perlu membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan,” katanya.

Demikian pengakuan jujur Khasim ketika ditemui Selangor Kini pada Majlis Penutup Program Smart English & Bijak Matematik di Kampung Ampang Indah, di sini, semalam.

Khasim berkata, beliau juga menaruh kepercayaan bahawa rakyat Malaysia mampu untuk memahami keadaan sebenar jika mereka diberi peluang mendekati kehidupan sebenar wakil rakyat.

“Bila pegangan iman tidak kuat, gaji pula tidak mencukupi dan rakyat minta bantuan, maka ia akan membuatkan individu itu terdedah kepada rasuah. Selain itu, mereka akan salah guna kuasa, meminta dengan tauke besar dan mendapatkan komisen daripada projek, namun perkara ini tidak berlaku di Selangor.

“Dengan kenaikan gaji yang diumumkan Menteri Besar baru-baru ini, sekurang-kurangnya untuk menyara keluarga sendiri dab tidak perlu risau lagi. Jadi, kita boleh lebih komited kepada rakyat,” katanya.

Khasim menyandang kerusi ADUNLembah Jaya sejak 2008 dan dilihat sebagai pemimpin yang disenangi masyarakat setempat.

Sikap mengambil berat terhadap setiap permasalahan rakyat, kerap turun padang bersama masyarakat akar umbi dan sentiasa merendah diri menjadikan Khasim sering menjadi tempat aduan orang ramai apabila berhadapan dengan kesusahan.

-NFN-

 


Pengarang :