NASIONAL

11 langkah jimat Kerajaan Pusat, ibarat lepas batuk di tangga

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 4 JAN: Langkah penjimatan yang diumum kerajaan pusat untuk mengurangkan perbelanjaan sektor awam diibaratkan seperti melepas batuk di tangga kerana tidak berpadanan dengan tujuan mengurangkan defisit negara.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata 11 langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas terlambat kerana dilakukan selepas kemarahan rakyat kian memuncak terutama dalam demonstrasi, pada 31 Disember lalu.

Dzulkefly Ahmad Pejabat PAS 01Katanya, defisit negara yang kian membengkak lebih 16 tahun itu tidak boleh ditangani secara efektif melalui pelaksanaan langkah berkenaan.

“Defisit yang membengkak selama lebih 16 tahun itu tidak boleh ditangani secara runcit dengan mengurangkan sepuluh peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri kerana langkah sebegini tidak besar nilainya.

“Pembaziran dan ketirisan melampau pimpinan Barisan Nasional (BN) seperti penggunaan jet peribadi yang menelan belanja RM180 juta setahun itu sebenarnya harus diberi perhatian.

“Kalau ia dapat ditangani, maka kos operasi kerajaan dapat dikurangkan dan lebih besar penjimatannya,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa dalam satu kenyataan kelmarin menjangkakan kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi langkah penjimatan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan sektor awam dan ia adalah kesinambungan kepada 11 langkah yang diumumkan Najib, sebelum ini.

Sementara itu, ketika mengulas saranan kerajaan supaya rakyat berjimat-cermat ketika berhadapan kenaikan kos sara hidup, Dzulkefly menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Katanya, rakyat berpendapatan rendah khususnya sudah lama terbeban terhadap peningkatan kos sara hidup yang semakin melampau, bahkan tidak ada ruang untuk bermewah seperti pimpinan BN.

Dzulkefly turut menyifatkan saranan itu sebagai sesuatu yang munafik dan tidak ubah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

“Apa juga yang disarankan wajar diambil kira tetapi rakyat berpendapatan rendah sebenarnya sudah lama tertekan dan terbeban dengan kos sara hidup, bahkan tiada ruang untuk bermewah.

“Mereka disuruh ubah cara hidup tetapi pemimpin negara tidak memgubah tabiat mereka. Memang rakyat sudah mengambil langkah untuk terus berubah, tetapi pemimpin atasan tidak tahu derita rakyat di bawah.

“Tutup ketirisan, kebocoran dan perbelanjaan boros kerana itu yang diperlukan. Bukan buat saranan begini,” katanya.

-NFN-


Pengarang :