7,000 meriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Selangor | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


7,000 meriahkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Selangor

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 JAN : Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor tahun 1435 Hijrah/2014 Masihi yang bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” disambut meriah di Stadium Malawati, Seksyen 13 di sini dengan kehadiran lebih 7,000 orang dari setiap pelusuk negeri.

Majlis yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul dari Stadium Mini Shah Alam diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi 125 kontinjen.


IMG_0553a

Turut kelihatan menyertai perarakan sejauh 1.6 kilometer itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammd Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ahmad Zaharin Mohd Saad; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Exco negeri.

IMG_0558aSebanyak 125 kontinjen yang terdiri daripada 5,864 peserta itu antaranya adalah kontinjen kerajaan, kontinjen badan berkanun dan swasta, kontinjen pertubuhan bukan kerajaan, kontinjen institut pengajian tinggi (IPT) dan kontinjen sekolah.

Tetamu turut dipersembahkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan persembahan khas Maulidur Rasul dari penyanyi undangan seperti Hafiz Hamidun dan kumpulan Hijjaz.

Sultan Selangor kemudiannya berkenan menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada keluarga dua parajurit negara yang terkorban di Lahad Datu iaitu Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud dan Allahyarham Koperal Mohd Azrul Tukiran.

MaulidSementara itu, tiga anugerah lain iaitu Anugerah Umar Abdul Aziz diberikan kepada Datuk Dr Yahya Baba; Anugerah Saidatina Khadijah kepada Dr Salasiah Hanin Hamjah dan Anugerah Saidina Ali kepada Allahyarham Ahmad Ammar Ahmad Azam.

Penerima anugerah masing-masing membawa pulang wang tunai sumbangan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, piala iringan serta sepersalinan pakaian.

Sementara itu pertandingan acara perarakan bagi kategori sepanduk terbaik dimenangi oleh Pejabat Agama Islam Hulu Selangor (jabatan kerajaan), Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Jaya (sekolah), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan-Padat (badan berkanun/swasta) dan Masjid Al Islamiah Kampung Lindungan (masjid/IPT).

Manakala pertandingan perarakan terbaik dimenangi oleh Jabatan Penjara Malaysia (jabatan kerajaan), SMK Dusun Nanding bagi kategori sekolah, Padat untuk kategori badan berkanun atau swasta serta Masjid Al-Amin bagi kategori masjid dan IPT.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri bersama-sama Jais turut melancarkan Bulan Dakwah yang dianjurkan setiap tahun bagi mengajak masyarakat Islam menghayati tugas dan peranan mereka sebagai umat sebenar.

Antara program yang telah direncanakan adalah Jelajah Dakwah, Ziarah Kasih, Santai Bersama Selebriti, Semai Taqwa, Dakwa Mesra Ummah dan sebagainya.

EZY

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION