SELANGOR

AKTIVITI YB: Tubuh pusat khidmat setempat bantu ibu tunggal

BANDAR BUKIT MAHKOTA, 26 JAN: Keperitan hidup seorang ibu tunggal yang terpaksa meneruskan kehidupan menyara sembilan orang anak setelah diceraikan suaminya mendapat perhatian ADUN Bangi, Shafie Ngah.

Noraya Yaacob, 52, terpaksa menggalas tugas mencari rezeki dengan mengambil upah menjahit menggunakan mesin yang dipinjamkan oleh majikannya.

bangiPendapatannya berpasang surut bergantung pada ehsan majikannya dan ada kalanya beliau tidak sempat menyiapkan tugasan kerana mesin jahit tersebut berada di rumah majikannya.

Shafie Ngah bersama-sama wakil Pusat Khidmat Masyarakat Setempat (PKMS) Putra Mahkota telah berkunjung ke rumah Puan Noraya di Pangsapuri Seri Melati, Bandar Seri Putra untuk menyerahkan mesin jahit tepi 4 benang.

“Ini adalah sebahagian dari pelaksanaan agenda ‘Bangi Mesra Wanita’ bagi menghargai golongan wanita dengan menyediakan peluang ekonomi, pendidikan dan memelihara kebajikan wanita.

“Untuk melaksanakan agenda ini bersama lapan agenda lain kami telah menubuhkan 18 buah Pusat Khidmat Masyarakat Setempat (PKMS) bagi membantu Pejabat ADUN Bangi memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan efisien,” kata Shafie.

Dengan adanya mesin jahit tersebut diharap dapat membantu Noraya untuk menyara kehidupannya dan anak-anaknya seramai sembilan orang dengan mengambil upah menjahit pakaian di rumah.

EZY


Pengarang :