AGAMA

Ahmad Ammar – Sebuah kematian yang menghidupkan (Islam)

Oleh Lizawati Madfa
Gambar Asri Sapfie

DIKERUMUNI sekumpulan wartawan yang cuba menyingkap kenangan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, wanita itu kelihatan begitu tenang menjawab soalan.

Setiap patah katanya begitu tersusun dan berisi, menunjukkan wanita itu bukan sembarangan ibu tetapi penuh dengan ilmu, dengan pengetahuan.

Beliau juga mesra apabila diminta bergambar bersama oleh beberapa wartawan selepas sesi soal jawab, malah tidak kekok bergurau dan bergelak ketawa bagai sudah kenal lama.

IMG_0924aSaat mendekatinya, hati tiba-tiba sebak apabila teringatkan video
pemergian anaknya, Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20, yang meninggal dunia di Turki akibat kemalangan pada 2 November tahun lalu.

‘Syahid Yang Tertangguh’ – itulah gelaran yang diberi kepada anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu, yang jasanya disemadi di tanah perkuburan Eyub Sultan – lokasi bersemadinya Abu Ayub al Ansari bersama-sama para sahabat nabi dan auliya.

“Tiada resepi istimewa dalam didikan. Tetapi, sejak kelahiran anak-anak lagi, kami suami isteri berniat bahawa anak kami bukan milik kami, sebaliknya milik masyarakat yang akan kembali kepada Allah.

“Sebab itu kami melibatkan anak kami dengan kerja amal dan
kemasyarakatan sejak kecil lagi. Kebetulan arwah juga dikurniakan Allah kecenderungan melakukan perkara sebegini.

“Ammar faham kelahirannya ke dunia bukan untuk dirinya sahaja tetapi  untuk masyarakat terutama dalam menegakkan syiar Islam. Saya bangga dengannya,” kata wanita itu, Nur Azlina Abdul Aziz, ibu kepada Ammar.

IMG_0930a

Beliau hadir di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1435 hijrah peringkat
Selangor di Stadium Melawati Shah Alam bagi menerima Anugerah Saidina Ali bagi pihak anaknya.

Penganugerahan itu disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anugerah berkenaan khusus kepada remaja yang memiliki ciri-ciri sahsiah dan disiplin tinggi dengan pencapaian akademik baik dan wajar dijadikan ikutan.

Ahmad-Amar1 - CopyAmmar meninggal dunia selepas dilanggar sebuah van ambulans ketika dalam perjalanan mengajar di sebuah madrasah di Turki.

Laporan bedah bedah siasat menunjukkan, Ammar cedera teruk pada organ dalaman yang mengakibatkan dua tulang rusuknya patah. Aneh, tiada kesan darah pada tubuh badannya.

Malah, rakannya di Turki menyatakan jasad Ammar yang sudah tidak
bernyawa ketika itu kelihatan berpeluh – dikatakan antara ciri-ciri
kematian syahid.

Ammar aktif dalam kerja sukarelawan kepada masyarakat Rohingya, Klang; Sukarelawan Gobal Peace Mission (GPM) untuk program Ukhuwah Fil Amal Kemboja dan sukarelawan bantuan ke Syria.

Mahasiwa Universiti Marmara Turki itu juga memiliki bakat luar biasa
apabila menguasai karya Agung Ilmuan Bediuzzaman Said Nursi iaitu
Risalah an-Nur dalam masa lapan bulan sahaja.

Ia mengejutkan kebanyakan warga Turki kerana karya itu, lazimnya
mengambil masa lama untuk dikuasai.

Ahmad-AmarMengikut ibunya, Ammar minat membaca malah sejak berusia sembilan tahun anaknya mula memahami bahan bacaan berat seperti buku perjuangan Islam, sejarah kerajaan Uthmaniyyah, tokoh ekonomi, pertanian dan sebagainya.

“Mungkin inilah antara faktor Ammar berminat dengan jalan yang dipilih kerana beliau begitu memahami apa yang ingin dilakukannya.

“Jadi pupuklah minat membaca di kalangan anak-anak, berikan mereka bahan bacaan yang baik.

“Kami juga beri Ammar komik seperti Detektif Conan, majalah terkini dan sebagainya, tetapi kami pantau secara dekat aktiviti ini,” kata Azlina.

Saat bercerita, si ibu kelihatan tenang, mengulangi riak wajah sama saat pemergian Ammar hingga menimbulkan kekaguman ramai terhadap Azlina dan suaminya.

Entah dari mana datangnya ketenangan sebegitu rupa, mungkin kerana memang dari awal lagi mereka menyemai subur sikap betapa anak bukan milik mereka tetapi masyarakat.

Apatah lagi pemergian Ammar juga begitu istimewa sehingga mendapat liputan meluas bukan sahaja di Malaysia dan Turki, malah seluruh dunia.

Walaupun merupakan pertemuan pertama, terlihat jelas ketinggian akhlak dan keperibadian Azlina, maka tidak hairanlah Ammar begitu dikagumi jati dirinya.

Dalam hati terdetik, tidak hairanlah anak muda itu begitu hebat kerana ternyata Ammar dididik dan dibesarkan dalam keluarga yang begitu baik, berakhlak mulia serta berilmu tinggi.

Ahmad-Amar1“Memang Ammar sudah pergi, tetapi pemergiannya bukan sia-sia. Sebaliknya ia membuka mata anak-anak muda malah orang tua juga untuk berjuang dan berdakwah di jalan Islam.

“Ramai yang mula berfikir – untuk berjuang dan berdakwah, tidak perlu untuk tunggu tua, dalam usia muda pun sudah boleh mula. Alhamdulillah,” katanya sebelum meminta diri untuk pulang bersama anak perempuannya.

Memang benar.

Pemergian Ammar bukan kematian biasa, sebaliknya kematian yang
menghidupkan. Menghidupkan jiwa-jiwa yang sebelum ini subur dengan limpahan duniawi.

* Lizawati Madfa ialah wartawan Selangor Kini


Pengarang :