Selangorkini
SELANGOR

Anwar nafi dakwaan ambil alih jawatan MB Selangor

SHAH ALAM 27 JAN: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan media mendakwa beliau akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menyifatkan laporan akhbar milik MCA The Star hanyalah satu spekulasi memandangkan ia sudah menjadi cakap-cakap sejak dahulu.

Anwar“Ia hanyalah satu lagi spekulasi. Cadangan itu sudah wujud sejak 2008 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan sejurus selepas menghadiri perbicaraan kes saman terhadap blogger Papa Gomo di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta hari ini.

Beliau juga menafikan perjumpaan bersama Abdul Khalid membincangkan isu tentang peralihan jawatan tersebut.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan berhubung akan meletak jawatan Menteri Besar seperti dilapor media, kata pegawainya.

Menurut Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor Arfa’eza Aziz, beliau bertemu dengan Abdul Khalid sejam lalu dan menteri besar penggal kedua itu menafikan laporan akhbar The Star yang mendakwa beliau akan meletakkan jawatan pada Rabu.

“Beliau datang kerja seperti biasa pagi ini. Beliau mempengerusikan mesyuarat dengan anak syarikat dan pada sebelah petang beliau akan mesyuarat dengan Sultan.

“Tidak ada apa-apa (tentang Abdul Khalid meletakkan jawatan),” kata Arfa’eza dipetik The Malaysian Insider.

EZY


Pengarang :