NASIONAL

Biro Pengguna PKR: Tugas PM bukan sahaja pastikan harga kangkung turun

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 13 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengambil serius isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang kini semakin menghimpit dan bukannya menjadikan kesengsaraan rakyat sebagai satu bahan lawak jenaka.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri, berkata Najib juga tidak boleh menghalang rakyat daripada terus menyalahkan Barisan Nasional (BN) dalam isu kenaikan harga barang kerana itu memang hakikatnya.

Kata Yahya, walaupun seringkali tampil dengan alasan dangkal apabila kenaikan harga barang berlaku, BN tidak boleh lari daripada tanggungjawab mereka sebagai kerajaan pemerintah.

Kangkung3 (1)Sebelum ini, Najib mempersoalkan apabila sesuatu kenaikan harga barang naik, BN cepat dipersalahkan sedangkan apabila harga barang seperti kangkung turun tiada pula kata-kata pujian diberikan kepada BN.

“Sepatutnya Kerajaan BN harus fikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah agar rakyat tidak terbeban dan terus menanggung kesempitan hidup hingga ada yang berlapar, berjalan kaki ke hospital untuk berjimat, mengumpul duit syiling untuk sekolahkan anak dan sebagainya.

“Kerajaan ada kuasa dan mampu mengawal segala jenis kenaikan ini tetapi malangnya kerajaan yang ada hari ini lebih berminat untuk mengambil remeh isu rakyat dan menjadikannya sebagai lawak jenaka.

“Kerajaan yang berkuasa ini tidak mampu melakukan apa-apa untuk rakyat sebaliknya sekadar menambah beban rakyat,” kata Yahya yang dihubungi Selangorkini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Najib semalam yang kesal BN seringkali dilabelkan sebagai ‘Barang Naik’, sedangkan menurutnya bukan semua kenaikan harga barang itu disebabkan kerajaan.

yahya shari 01Yahya berkata, Kerajaan BN sepatutnya mengambil langkah bijak mengawal atau menurunkan harga sumber utama yang menyumbang terus kepada kedudukan harga barang dan perkhidmatan.

“Pakatan Rakyat (PR) komited untuk menurunkan harga petrol kerana percaya apabila petrol mahal maka kos akan meningkat bermula daripada kos pengangkutan, sumber tenaga, peringkat kilang dan sebagainya.

“Kerajaan juga perlu lebih bijak berbelanja, jangan terlalu boros kepada perkara tidak penting seperti penginapan di hotel mewah, penggunaan jet peribadi dan lain-lain.

“Mereka juga tidak perlu meminta-minta untuk dipuji sedangkan terlalu banyak perkara yang gagal,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :