SELANGOR

Bukan Islam yakin ditadbir pemimpin taat agama

Oleh : NAZLI IBRAHIM

KLANG, 19 JAN: Masyarakat bukan Islam di negara ini percaya keselamatan nyawa dan harta benda mereka lebih terjamin jika Malaysia ditadbir pemimpin yang taat kepada ajaran Islam.

Exco Pendidikan Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata hal itu kerana ajaran Islam tidak pernah mengajar umatnya melakukan sebarang perkara yang mampu memudaratkan penganut agama lain.

Halimah Ali Hijau Tudung Pink 01“Orang bukan Islam yakin kalau orang Islam yang baik dan taat kepada agamanya, tidak akan kacau agama lain, bahkan orang Cina dan India akan rasa lebih selamat kerana rumah mereka tidak dipecahkan serta motosikal tidak dicuri,” katanya.

Dr Halimah berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang. di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Halimah turut menggesa masyarakat mencontohi sifat Nabi Muhammad SAW yang pengasih sesama manusia walaupun terhadap penganut agama lain.

“Nabi Muhammad SAW sendiri pernah menyuapkan roti kepada seorang Yahudi dengan penuh kasih, sedangkan ketika itu lelaki yang buta itu sedang memarahi baginda,” katanya.

MB Maulidur Rasul 03Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang itu diadakan di Masjid Darul Muttaqin memasuki hari terakhir sejak dimulakan, pada 16 Januari lalu.

Pada sambutan itu, pelbagai acara diadakan seperti bacaan Yassin Perdana, pertandingan pidato, pertandingan masakan sunah, pameran agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma, acara memanah, cabutan bertuah dan perarakan.

Kira-kira 1,600 peserta menyertai 37 kontinjen yang mewakili masjid, surau, agensi kerajaan serta swasta dalam perarakan berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer.

-NFN-


Pengarang :