NASIONAL

COMANGO akan fail semakan kehakiman

SHAH ALAM 10 JAN: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (COMANGO) menafikan dakwaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa mereka memperjuangkan hak yang ‘menyeleweng daripada Islam.

Gabungan itu dalam kenyataan media yang dipetik daripada Malaysia Kini berkata, pengharaman KDN terhadap mereka tidak dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 dan akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan berkenaan.

Comango-300x202COMANGO berkata, mereka terkejut apabila kerajaan menggunakan Islam sebagai alat politik untuk menutup mulut kritikan berkenaan pencabulan hak asasi manusia dan terhadap pembela hak asasi manusia.

COMANGO menegaskan bahawa tidak ada satu daripada usaha gabungan itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan dan presentasinya kepada Majlis Hak Asasi Manusia bagi Penilaian Penggal Sejagat, Bangsa-Bangsa Bersatu (UPR) adalah sebahagian daripada proses yang dibenarkan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Gabungan itu juga menegaskan bahawa semua anggota PBB termasuk negara Islam sudah mengambil bahagian dalam proses kajian semula itu membabitkan rekod hak asasi manusia masing-masing.

Oleh kerana Malaysia sedang melobi untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Keselamatan PBB, maka COMANGO berkata, kerajaan tidak boleh mengambil bahagian dalam beberapa proses PBB dan pada masa sama, menafikan yang lain.

Gabungan itu berkata, proses UPR adalah sebagai satu proses yang direka untuk mendorong, menyokong dan memperluaskan promosi serta perlindungan hak asasi manusia untuk dinikmati dengan matlamat untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia setiap negara.

Oleh itu, tegas gabungan berkenaan, tindakan kerajaan melalui KDN itu adalah bertentangan dengan matlamat terbabit dan melanggar hak kebebasan bersuara dan berpersatuan.


Pengarang :