Selangorkini
SELANGOR

Dakwa beri kenyataan tidak sensitif, Speaker Selangor diugut bunuh

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 7 JAN: Gara-gara didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sensitif berhubung seorang wanita hamil duduk bersila di dalam aliran transit ringan (LRT) yanggambarnya tersebar luas, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh dikecam blogger pro Umno.

Hannah turut dibidas dalam laman sosial Facebook “Anti Semua Salah Umno (ASSU)” yang menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya itu sebagai tidak sensitif dan ‘rasis’.

hannah yeoh pc syabas 02Beliau turut menerima ancaman bunuh daripada seorang pengguna laman sosial itu yang dipetik sebagai berkata “Jom cari hannah ni…bunuh dia.”

Mengulas dakwaan itu, Hannah berkata, beliau mula menyedari insiden berkenaan selepas dimaklumkan orang ramai, pada 4 Januari lalu.

“Ada orang maklumkan pada saya melalui Twitter dengan bertanya adakah saya pernah membuat kenyataan begitu. Saya sudah menafikan perkara berkenaan tetapi masih disebarkan blogger.

“Tidak cukup dengan itu, saya difahamkan ia dipaparkan pula di laman sosial Facebook,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu sengaja ditimbulkan untuk memainkan isu perkauman bagi mewujudkan kebencian dan salah faham di kalangan masyarakat.

Katanya, insiden berkenaan adalah susulan daripada penyebaran e-mel yang mengaitkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang didakwa meletakkan bahan letupan dalam bandar di ambang tahun baru 2014.

“Saya sudah membuat satu laporan polis pagi tadi dan berharap siasatan segera dijalankan terhadap individu bertanggungjawab kerana ia adalah satu perkara serius. Individu ini akan terus mereka cerita supaya orang ramai akan percaya kepada fitnah itu,” katanya.

-NFN-


Pengarang :