Dari pemberi sedekah kepada usahawan berjaya | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Dari pemberi sedekah kepada usahawan berjaya

Oleh Naeem Raffi
Gambar Shuaib Ayob

SEMUANYA ada. Jenama Guess, Gap, Louis Vuitton, Prada, Hermes mahupun Burberry.

Dengan RM1 sehelai, tidak mustahil untuk memiliki jaket, seluar mahupun kemeja jenama luar negara jika berkunjung ke Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Dengkil.


Lebih murah daripada tiga biji karipap atau secawan teh ‘0’ panas.

Inilah SYZ Ani Bundle atau lebih dikenali sebagai ‘Bundle RM1’ syurga beli-belah bagi warga setempat khususnya golongan kurang berkemampuan dan pertenggahan.

IMG_6258

Tambah unik, kedai itu letaknya di ladang kelapa sawit yang udaranya segar dan nyaman.

Kedai itu sebenarnya diusahakan seorang suri rumah berketurunan orang Asal Temuan, Siti Rosnani Abdullah, 46, bersama ahli keluarganya.

Mulanya, beliau hanya mahu bersedekah kepada penduduk kampung yang kurang berkemampuan dengan memberi baju dari sebuah gudang pakaian terpakai.

PEMILIK KEDAI SITI ROSNANI BT ABDULLAH 46“Saya tidak pernah berniat menjual pakaian terpakai. Saya dapat pakaian dari sebuah gudang di Telok Gong dan bawa balik ke rumah untuk disedekah kepada orang kampung.

“Suatu hari, beberapa orang luar lalu lalang depan rumah saya melihat ramai orang memilih pakaian. Mereka bertanya adakah ia untuk dijual?” kata yang mesra dengan panggilan Kak Ani

Atas permintaan mereka, Rosnani menjualnya dengan harga serendah RM1 setiap sehelai.

Tidak hairanlah seawal jam 7.45 pagi rumah yang menjadi kedainya dibanjiri warga setempat bagi merebut peluang memborong pakaian.

Promosi mulut ke mulut menjadikan kedainya semakin popular sehingga pengunjung dari daerah lain serta negeri jiran seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka juga berkunjung.

Atas permintaan tidak henti-henti, Rosnani mula memikirkan modal untuk memajukan perniagaannya.

Namun, Kak Ani berdepan kesukaran maju setapak lagi dalam perniagaannya mengenangkan kemampuan diri yang tidak berpengalaman dalam mengurus perniagaan dan kurangnya pengetahuan dalam soal pinjaman.

mesNamun, beliau mendapat suntikan semangat apabila seorang kenalannya menganjurkannya untuk menyertai Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL), sebuah program bantuan kewangan untuk peniaga.

“Saya orang Asli yang hanya duduk kampung, tak tahu bagaimana mahu berniaga, apatah lagi buat pinjaman. Mujurlah suatu hari, kawan saya beritahu tentang SKIMSEL.

Akhirnya, bermula Disember 2011, Kak Ani memperoleh modal awal RM3,000 melalui SKIMSEL dan menggunakannya untuk memperbesar kedai manakala pinjaman kali kedua RM5,000 digunakan untuk memagar sekeliling kedai bagi tujuan keselamatan.

IMG_6316

Selepas hampir empat tahun beroperasi, Kak Ani melebar sayap operasi dengan menjadi pembekal dengan menjual secara borong kepada pengusaha bundle yang baru berjinak-jinak memulakan perniagaan.

Berdasarkan kemampuan perniagaan yang semakin maju dengan potensi yang cemerlang, pengurusan SKIMSEL sekali lagi meluluskan pembiayaan RM10,000 pada Mac 2013 dan sekali lagi sejumlah RM10,000 pada Julai tahun sama.

“Sebelum ini, saya dan keluarga hanya bergantung harap kepada suamidengan pendapatan bulanan sekitar RM700 hasil kerja kampung danambil upah mengurus ladang kelapa sawit.

“Berkat kesungguhan menjual pakaian ini, saya mampu meraih pendapatan sekitar RM8,000 sebulan,” katanya.

IMG_6498

Pun begitu – kalau sebelum ini penduduk kampung diberi pakaian terpakai berjenama secara percuma, kini mereka diberi pekerjaan sebagai pembantu kedai, pemandu dan penjaga stor apabila perniagaan Kak Ani meningkat maju.

Sekurang-kurangnya 30 penduduk kampung dari kalangan anak muda diambil bekerja.

“Ini antara cara bagaimana saya mahu pastikan bukan saya sahaja orang Asal yang berjaya. Saya pasti orang Asal mampu berjaya lebih daripada saya.

“Setidak-tidaknya anak muda orang Asal di kampung saya tidak menganggur, ada pendapatan membantu keluarga,” katanya.

– FZL

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION