NASIONAL

DBKL perlu pantau projek sekitar Hutan Bukit Gasing, elak kejadian banjir lumpur

Oleh: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 8 JAN: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa terus memantau projek sekitar kawasan Hutan Bukit Gasing dengan lebih dekat berikutan masalah banjir lumpur yang sering melanda kawasan berhampiran.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata masalah lumpur itu mengakibatkan sistem saliran di kawasan berhampiran tersumbat dan mendatangkan kesukaran kepada penduduk setempat.

“DBKL diseru supaya memberikan perhatian segera terhadap perkara ini dan memberikan respon kepada pihak kami dalam masa seminggu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Nurul-IzzahBeliau berkata, Hutan Bukit Gasing adalah antara jajaran kawasan hijau terakhir di Kuala Lumpur yang dibangkitkan Friends of Bukit Gasing (FoBG), sejak tahun 2000.

Sehingga kini, masalah itu sudah didengar empat Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Datuk Mohmad Shaid Mohd Taufek, Datuk Hakim Borhan, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, dan Datuk Seri Ahmad Phesal.

Namun, penggazetan Bukit Gasing di bahagian Kuala Lumpur sebagai hutan simpan masih belum lagi dilaksanakan.

Izzah berkata, DBKL selalu berselindung di sebalik alasan Perdana Menteri membenarkan setiap pembangunan yang diselubungi kontroversi.

“Persoalannya adalah, adakah mantan Perdana Menteri melanggar sebarang undang-undang dengan membenarkan pengurangan ‘buffer zone’ untuk memberi laluan buat pembangunan.

“Jika ini benar, orang ramai berhak meminta penyandang jawatan Perdana Menteri sekarang untuk memperbetulkan semula keadaan ini,” katanya.

-NFN-


Pengarang :