SELANGOR

MB: Dua pegawai PKNS ditukar sementara untuk siasatan dalaman

Oleh Lizawati Madfa

SHAH ALAM 20 JAN: Dua pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hanya ditukar sementara ke ibu pejabat kerajaan Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tindakan itu dilakukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi bagi membolehkan siasatan dalaman dibuat.

“Mereka adalah penjawat awam dan sebarang tindakan perlu mengikut peraturan penjawat awam,” katanya pada kenyataan media petang ini.

Dua pegawai itu ialah Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek. Isu itu berkait rapat dengan pengguguran Mohamed Azmin Ali dari jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS.

pkns-logo

Abdul Khalid berkata, antara yang disiasat ialah bagaimana surat pemecatan Ahli Lembaga Pengarah dikeluarkan oleh Pengurus Besar tanpa pengetahuan Menteri Besar selaku Pengerusi PKNS.

“Keputusan ini telah saya maklumkan kepada kedua-dua pegawai terlibat dan meminta mereka memberi kerjasama penuh kepada siasatan.

“Saya juga telah memberitahu keputusan ini kepada Ahli Lembaga Pengarah PKNS dalam mesyuarat sebentar tadi,” katanya.

Abdul Khalid berkata, surat kuasa itu membolehkan Khusrin melakukan siasatan dalaman bagi merungkai persoalan yang melibatkan fakta dan undang-undang.

“Bagi melaksanakan siasatan menyeluruh adalah amat sukar jika kedua-duanya masih bertugas di PKNS,” katanya.

Kenyataan itu, kata Abdul Khalid, dibuat berikutan laporan meluas media mengenai kedudukan Ahli Lembaga PKNS yang memberi gambaran seolah-olah ia melibatkan kepentingan awam yang mendesak.

Beliau menyifatkan ia sebagai perkembangan tidak sihat berikutan spekulasi pelbagai pihak tanpa merujuk fakta sahih.

“Saya berbincang dan menyerahkan surat kuasa kepada Mohamed Khusrin untuk melaksanakan tindakan pentadbiran terhadap Pengurus Besar dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS,” katanya.

Pada kenyataan media sama, Abdul Khalid berkata,  kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS, kekal seperti yang diarah Pengurus Besar PKNS pada 8 Januari lalu bagi mengelak sebarang komplikasi perundangan.

FZL

 


Pengarang :