SELANGOR

Exco: Kerajaan Negeri bantu SKI Ar-Raihan Bandar Teknologi Kajang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM 15 JAN : Kerajaan Negeri akan membantu Sekolah Kafa Integrasi Ar-Raihan, Bandar Teknologi, Kajang yang mengalami masalah ketiadaan bangunan dan menumpang surau berhampiran serta sebahagiannya dibina menggunakan kanopi.

Exco Hal Ehwal Agama, Sallehen Mukhyi, berkata beliau akan mengadakan lawatan ke sekolah itu dalam tempoh terdekat bagi meninjau masalah sebenar yang dihadapi sekolah itu dan membuat tindakan susulan.

Sallehen MukhyiSallehen berkata, pihaknya akan mengenal pasti kawasan tanah berhampiran yang sesuai serta statusnya bagi pembinaan bangunan sekolah itu.

“Difahamkan sekolah itu dibina atas usaha masyarakat setempat. Kita akan memantau dan melihat jika perlu kita akan membantu supaya mereka boleh mendapat bangunan yang baru,” katanya kepada Selangor Kini.

Sekolah di bawah kelolaaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu dengan jumlah pelajar melebihi 900 orang menghadapi masalah ketiadaan bangunan.

Malah sekumpulan pelajarnya terpaksa mengikuti kelas dengan hanya bersila di lantai akibat ketiadaan kerusi dan meja.

“Kalau kawasan yang ada itu tidak sesuai kita akan cuba cari tempat baru. Kita akan tengok kalau tanah Kerajaan Negeri ada di situ maka saya akan minta diluluskan dan bina terus melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.

“Tetapi isunya mereka kekurangan dana. Kita akan lihat isu ini sama ada mereka ada dana tetapi tidak cukup ataupun sebaliknya, kalau kurang, kita boleh berbincang dengan masyarakat di situ untuk bantuan,” katanya.

Berhubung pelan bangunan yang dikatakan perlu disediakan bagi pembinaan itu, Sallehen berkata, pelan terbabit perlu dibina berdasarkan keluasan saiz, bentuk tanah serta faktor lain yang bersesuaian dengan kehendak pembinaan bangunan sesebuah sekolah selain kapasiti pelajarnya.

Kita tidak boleh nak selaraskan semua sekolah mesti mengikut satu pelan binaan yang sama. Sebenarnya Kerajaan Negeri sudah ada pelan yang standard untuk diguna pakai bergantung kepada bentuk dan keadaan tanah.

“Kalau kawasan tanah itu mengizinkan kita buat dua tiga tingkat, kita akan buat. Kalau tidak, kita akan lihat berhubung soal keselamatan dan sebagainya,” katanya.

EZY


Pengarang :