SELANGOR

Gedung Penawar kendali 4 Pusat Dialisis Rakyat, bantu rakyat kurang berkemampuan

Oleh : SIRAJ ZAINI

KLANG, 24 JAN: Dengan mengamalkan konsep ‘golongan berupaya harus membantu golongan lemah’, sebuah syarikat perunding perubatan, Gedung Penawar Sdn Bhd membantu usaha kerajaan negeri dengan mengendalikan empat Pusat Dialisis Rakyat (PDR) di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohd Padzil Daros, berkata syarikatnya bertanggungjawab mengendalikan PDR di Ampang, Sementa, Taman Medan dan Lembah Keramat, sepanjang tiga tahun lalu.

Padzil berkata, sehingga kini PDR di Ampang mempunyai 10 mesin dialisis dan mempunyai 40 pesakit di Sementa terdapt lapan mesin (32 pesakit), manakala PDR di Taman Medan pula lapan mesin dan (24 pesakit) serta Lembah Keramat, lapan mesin (21 pesakit).

daroyahKatanya, semua pesakit yang menerima rawatan di PDR diberikan perkhidmatan secara percuma dan wujud beberapa perancangan di masa hadapan bersama kerajaan negeri untuk menambah baik perkhidmatannya.

“Saya percaya perkhidmatan yang disediakan ini mampu ditingkatkan lagi dengan sokongan kerajaan negeri yang mengamalkan konsep negeri berkebajikan dan lebih ramai pesakit akan dapat kita bantu kerana kos bagi penyakit buah pinggang ini sudah tentu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima lawatan Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi di PDR Sementa, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Gedung Penawar Sdn Bhd adalah syarikat yang berpengalaman dalam bidang perunding perubatan serta mempunyai pusat rawatan hemodialisis seluruh negara.

Sementara itu, Dr Daroyah berkata, kerajaan negeri berhasrat memperbanyakkan PDR di seluruh Selangor pada masa akan datang.

“Kita bercadang untuk mewujudkan PDR di kawasan lain kerana empat PDR sedia ada hanya berada di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Daroyah1Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa berkata, kerajaan negeri perlu meneliti terlebih dahulu bagi membuka perkhidmatan dialisis secara terbuka kepada seluruh rakyat di Selangor kerana memerlukan kos yang tinggi.

Bagi tujuan rawatan dialisis di beberapa pusat rawatan berbayar, pesakit perlu membayar antara RM110 sehingga RM300 bagi setiap kali rawatan dan mereka juga dikehendaki menjalankannya tiga kali seminggu.

-NFN-


Pengarang :