NASIONAL

Guan Eng : Umno perlu henti sentimen perkauman di Pulau Pinang

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JAN: DAP menggesa Umno untuk berhenti mempolitikkan insiden perkauman dan agama yang berlaku di Pulau Pinang kerana sebenarnya ditimbulkan sendiri parti itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Umno juga tidak perlu meletakkan kesalahan kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana ahlinya sendiri menghadiri insiden yang sengaja dicipta mereka.

Guan Eng berkata, sebagai Ketua Menteri beliau sentiasa berusaha melindungi dan mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri itu daripada pihak ekstremis.

lim guan eng“Saya juga ingin tegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mengatur sebarang demonstrasi, bahkan dikritik teruk apabila cuba menasihatkan supaya demonstrasi membantah kenaikan harga barang beberapa NGO ditangguh sehingga selepas sambutan Tahun Baru Cina.

“Tetapi dalam masa sepuluh hari, rakyat terpaksa menyaksikan insiden jelik ditunjukkan dalam insiden yang jelas dihadiri bukan sahaja penyokong dan ahlinya termasuk pimpinan tertinggi dan wakil rakyat Umno,” katanya ketika sesi dialog bersama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan, baru-baru ini.

Dipetik daripada Roketkini, Guan Eng juga berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang hanya komited dan fokus untuk menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang semakin menghimpit rakyat.

“Ternyata isu perkauman dan agama ini sengaja dicipta dan dimainkan bagi mengalih pandangan rakyat daripada isu sebenar yang lebih serius seperti kenaikan harga gula, minyak, elektrik dan tol yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

“Sebagai perbandingan, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menaikkan apa-apa bayaran untuk perkhidmatan di bawah pentadbirannya sama ada cukai tanah, cukai pintu, tarif air dan lesen perniagaan,” katanya lagi.

himpunan kangkung umnoSejak beberapa minggu lepas, Pulau Pinang tidak lekang daripada pelbagai insiden perkauman dan agama yang begitu membimbangkan, namun gagal diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Antaranya, perhimpunan di Taman Alma, Bukit Mertajam pada 19 Januari lalu yang menyaksikan potretnya, Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dibakar serta kejadian serangan ‘molotove cocktail’ juga penggantungan kain rentang tanpa kebenaran di beberapa gereja negeri itu.

Selain itu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan Umno Bahagian Tanjung turut mendesak penjualan daging khinzir secara terbuka di Lebuh Chulia, Jalan Kuantan dan Jalan C Y Choy di George Town diharamkan tetapi kira-kira 95 peratus penduduk kawasan itu adalah bukan Islam dan sudah menjadi kezaliman sejak sebelum merdeka.

-NFN-


Pengarang :