NASIONAL

Protes Pensil Merah: Pengamal media kecewa tindakan kerajaan

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 2 JAN: Kebangkitan petugas media yang semakin lantang menentang sekatan terhadap penerbitan laporan berita menunjukkan petanda positif media perlu bebas daripada kawalan kerajaan.

Beberapa agensi media bangkit menyatakan kekecewaan dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung akhbar ‘The Heat’ hanya kerana menerbitkan berita berkenaan perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

fahmi-fadzilPengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, berkata media memerlukan reformasi tulen supaya mereka dapat menyalur maklum balas rakyat kepada kerajaan terutama berkenaan keperitan rakyat dalam berhadapan kos kehidupan yang semakin mencengkam.

Katanya, walaupun petugas media bebas dan pro-pembangkang lebih cenderung bersuara mengkritik, namun masih terdapat kumpulan lain juga tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan serta terpaksa membisu.

“Kita tahu ada petugas media arus perdana yang tidak bersetuju dengan cara media dikekang terutama disebabkan isu gaji dan kerja mereka.

“Ini tidak bermakna mereka tidak menyokong. Kita tahu ramai menyokong dan tidak bersetuju dengan cara media dikekang bukan sahaja pemerintahan kini sebaliknya sejak sebelum ini.

“Kebebasan media itu masih belum dirasai apabila petugas media boleh menulis apa yang dilihat tanpa kekangan daripada Putrajaya,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif bersama Selangor Kini, di sini, hari ini.

Kesan daripada penggantungan akhbar ‘The Heat’ baru-baru ini, Gerakan Media Marah (GERAMM) akan menganjurkan satu himpunan di Kuala Lumpur, pada 4 Januari ini.

Himpunan yang diberi nama bantahan ‘Pensil Merah’ mengenakan syarat supaya peserta mematahkan pensil sebagai bantahan terhadap siri pencabulan kepada organisasi media selama ini yang menjadi mangsa KDN.

Fahmi yang juga bekas pegawai Ahli Parlimen Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, penyatuan laman sosial dan pengamal media yang begitu pantas menyalurkan maklumat juga menggerunkan kerajaan sebelum mengambil keputusan membabitkan rakyat.

“Tanpa laman sosial, mungkin Putrajaya tidak akan mendapat maklum balas yang begitu terang dan jelas bahawa rakyat kini menghadapi kesukaran kenaikan kos sara hidup.

“Semua pimpinan dan pentadbiran tidak boleh bersikap monolog tetapi dialog. Semakin hari, banyak maklum balas daripada platform lain yang menyukarkan kerajaan pantau kerana teknologi terlalu pantas.

“Tetapi, intipatinya pemerintah perlu mengambil iktibar, rakyat akan bersuara. Jika tidak mendengar, ia akan memberi kesan pada masa hadapan kepada pemerintah,” katanya.

-NFN-


Pengarang :