SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri arah JAIS dapat pengesahan KDN

Oleh: SIRAJ ZAINI

SHAH ALAM 8 JAN: Kerajaan Negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kitab yang diambil daripada Persatuan Bible Malaysia memenuhi Resolusi 10 Perkara yang ditetapkan Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri mengarahkan JAIS memulangkan semula kitab itu semula kepada Persatuan Bible Malaysia, jika kitab berkenaan memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah ‘Allah’.

DSC_7230Katanya, JAIS sudah dipanggil memberi keterangan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini, bagi memberi penerangan berhubung pemeriksaan dibuat terhadap persatuan berkenaan pada minggu lalu.

“Setelah mendengar taklimat jabatan berkenaan, Kerajaan Negeri mengarahkan Jais untuk mendapatkan pengesahan daripada KDN jika kitab yang diambil daripada Persatuan Bible Malaysia memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah “Allah” yang ditetapkan oleh Kabinet.

“Antara syarat Resolusi tersebut termasuk membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak bible bahasa Melayu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, keputusan itu dilakukan dengan mengambil kira Resolusi 10 Perkara dan Seksyen 9 Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan kepada orang bukan Islam menggunapakai beberapa perkataan termasuk perkataan ‘Allah’ dalam mana-mana tulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menyeru JAIS supaya meneruskan siasatan secara profesional dengan mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan terus memainkan peranan dengan mengadakan perbincangan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS bagi memastikan penguatkuasaan di masa akan datang dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan bersama ketua agama bukan Islam bagi memberi pemahaman mengenai Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.

“Kerajaan Negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan akan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan DYMM Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam,” kata Abdul Khalid.

EZY


Pengarang :