BERITA UTAMA

Kangkung: kegagalan ‘food security’ negara?

Oleh: Haris Zuan

MUNGKIN kerana tidak lagi mampu untuk berdepan dengan kritikan yang semakin kuat, Najib Razak telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak adil untuk menyalahkan Barisan Nasional atas kenaikan harga barangan harian.

Menurut Perdana Menteri, kenaikan harga barangan seperti sayuran, ikan dan lain-lain disebabkan oleh keadaan semasa, ekonomi dunia, faktor cuaca serta fenomena cuaca ekstrem yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan.

Kangkung turun“Bukan semua harga naik sebab kerajaan. Harga ikan naik sebab ikan kurang, harga sayuran naik disebabkan bekalan kurang. Masa harga (barangan) turun, tak puji kerajaan tetapi masa naik, kerajaan dikeji,” katanya, sebagaimana dipetik oleh Sinar Harian edisi 12 Januari 2013.

Rupa-rupanya yang turun itu cumalah sayur kangkung.

Pertama sekali, saya ingin mengingatkan Najib bahawa kebanyakan bahan makanan seperti ikan, ayam, tepung gandum, gula, garam termasuk antara 22 senarai barangan yang diisytiharkan sebagai barang-barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Pemantauan dan penguatkuasaannya pula dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan.

Justeru jika kerajaan tidak mampu untuk mengawal harga barangan, mengapa wujudkan senarai barangan kawalan dan sebuah kementerian untuk memantaunya? Mengapa tidak bubarkan sahaja kementerian ini?

Keduanya, sebagai seorang Perdana Menteri, rakyat mengharapkan beliau untuk memberi penyelesaian yang bersifat struktural.

Najib Razak adalah benar apabila mengatakan harga makanan bukan sahaja dipengaruhi oleh harga minyak tetapi juga cuaca dan ekonomi dunia.

Sebagai contoh, apabila India dilanda banjir, harga bawang bombay meningkat. Begitu juga dengan kelapa yang diimport daripada Sumatera yang terjejas sedikit masa dahulu.

Pada masa yang sama, pengeluaran makanan di negara ini masih lagi rendah dan belum mampu untuk memenuhi keperluan dalam negara sehingga menyebabkan negara bergantung kepada sumber import.

Semakan pada statistik Tahap Sara Diri Komoditi Makanan Utama, 2006-2011 (Self-Sufficiency Level Of Major Food Commodities, 2006-2011) yang diterbitkan sendiri oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia mendapati bahawa pengeluaran padi di negara ini hanya mencapai 70% keperluan negara, manakala baki 30% terpaksa diimport.

Kangkung3 (1)Sayuran lebih ketara kerana pengeluaran dalam negara hanya dapat menampung sekitar 40% keperluan dalam negara dan selebihnya harus diimport.

Pengeluaran daging lembu/kerbau pula kurang daripada 30% keperluan negara, manakala Malaysia terpaksa mengimport 90% keperluan kambing/biri-biri berikutan pengeluaran dalam negara yang kurang daripada 10%.

Pengeluaran susu Malaysia pula hanya sekitar 5% berbanding keperluan negara.

Data ini menunjukkan bahawa Malaysia sangat bergantung kepada import makanan dan sejak 10 tahun lepas, Malaysia mengimport bahan makanan bernilai RM221.81 bilion – satu jumlah yang bukan sedikit.

Kebergantungan ini bukan disebabkan tanah di Malaysia ini tidak subur atau cuacanya yang sentiasa kejam terhadap tanaman, bukan juga kerana rakyatnya malas untuk berkebun dan bercucuk tanam.

Tetapi kerana keinginan negara ini untuk menjadi negara industri. Secara perlahan-lahan sektor pertanian dipinggirkan dan tumpuan diberikan kepada pembuatan.

Pada tahun 1970, lebih separuh (sekitar 55%) daripada tenaga kerja negara ini tertumpu dalam sektor pertanian, namun perlahan-lahan angka ini berkurang kepada 40% pada 1980, merosot kepada 15% pada 1990 dan sekitar 10% pada 2010.

Akhirnya pada tahun 2010, sektor pembuatan dan perkhidmatan membentuk lebih 70% daripada guna tenaga di negara ini.

Lalu Malaysia akhirnya menjadi pengimport makanan termasuk pucuk paku daripada Thailand. Ya, Thailand merupakan contoh terbaik di mana sektor pertaniannya diberikan tumpuan yang besar dan kini Thailand menjadi mengeksport utama beras dan saiz ekonominya adalah setara dengan Malaysia yang kononnya mahu menjadi juara automotif di rantau ini.

Ironinya, saiz sektor automotif di Thailand, khasnya pemasangan kenderaan adalah jauh lebih besar daripada Malaysia, malah Vietnam juga mula menyaingi Malaysia.

Kesudahannya, negara kita tidak menjadi negara dengan sektor automotif yang disegani di rantau ini, dan kita mengorbankan sektor pertanian yang selama ini menjadi kekuatan kepada negara ini.

Hanya akhir-akhir ini, Malaysia mula menyebut kembali mengenai keperluan untuk mengukuhkan kembali bidang pertanian, khasnya pada zaman Pak Lah.

Ketika ini juga ramai mula bercakap mengenai keselamatan makanan (food security) apabila menyedari pertanian bukan sekadar industri tetapi juga elemen keselamatan yang jauh lebih penting daripada dua biji kapal selam second hand yang dibeli dengan mahal dan gagal menyelam.

NFC- Shahrizat & SallehMalangnya, Pak Lah gagal mendapatkan pengganti beliau yang dapat melihat kepentingan dalam food security ini. Malah, nampaknya projek untuk memastikan negara mengurangkan kepada import daging lembu dan tenusu dilihat sebagai ruang untuk memperkayakan kroni semata-mata. Akhirnya, sebagaimana semua maklum, projek tersebut gagal.

Kini, Perdana Menteri kita yang dikasihi, kerana kegagalan beliau untuk menstabilkan harga makanan asas dan mengukuhkan keselamatan makanan negara telah mengeluarkan kenyataan yang dikhuatiri akan menyebabkan seluruh dunia menyangka Malaysia mempunyai Perdana Menteri yang dipilih melalui SMS rancangan Maharaja Lawak Mega.

Semoga kita tidak lagi dikangkungkan.

Dipetik: Roketkini.com


Pengarang :