NASIONAL

KASE yakin BN tidak akan batal pelaksanaan AES

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 JAN: Kempen Anti Saman Ekor (KASE) menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan membatalkan perlaksanaan AES tetapi hanya akan melakukan transformasi berhubung perkara berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Penasihat Undang-Undang KASE, Zulhazmi Shariff, yang menyifatkan kerajaan BN sebagai pembohong dan hanya cuba mempermainkan rakyat.

Hal itu kerana sehingga kini kerajaan masih belum memutuskan status perlaksanaan AES sejak diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datukm Seri Hishamuddin Tun Hussein, September lalu sebaliknya hanya usul daripada Kementerian Kewangan untuk menubuhkan AES Solution Sdn Bhd bagi mengambil alih aset daripada dua syarikat pengendali sebelum ini.

zulhazmi-shariff“Kerajaan Malaysia di bawah BN memang pembohong dan mempermainkan rakyat. Pemangku Menteri Pengangkutan umumkan pada September lalu bahawa isu AES akan diselesaikan dalam tempoh terdekat tetapi sehingga hari ini masih tidak ada penyelesaian.

“Apa yang ada adalah usul Kementerian Kewangan menubuhkan AES Solution Sdn Bhd untuk mengambil alih aset Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd, dua syarikat pengendali AES sebelum ini,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Katanya, sehingga kini masih tidak ada perkembangan berkenaan pengambil alihan oleh AES Solution Sdn Bhd dan bagaimana mereka akan mengendalikan AES selepas ini.

“Kerajaan pada September lalu menubuhkan AES Solution Sdn Bhd untuk ambil alih aset Beta Tegap Sdn Bhd & Ates Sdn Bhd dan seterusnya mengambil alih pengurusan AES daripada dua syarikat swasta tadi.

“Tetapi kita mempersoalkan berapa nilai pengambil alihan aset AES Solution kerana setiap wang itu adalah milik kerajaan iaitu wang rakyat. Sehingga hari ini masih tidak ada sebarang makluman daripada kerajaan.

gambar hiasan

“Pada masa sama juga Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bahawa AES sudah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetapi sehingga hari ini ia masih dilaksanakan JPJ.

“Segala proses pengeluaran saman dan bayaran kompaun masih dijalankan JPJ. Ini semua karut,” katanya.

Berhubung status saman yang membelenggu penerima, Zulhazmi menegaskan, saman yang masih dikeluarkan JPJ tidak memeberikan sebarang kesan kerana Peguam Negara membekukan semua prosiding AES di mahkamah sejak 18 Disember 2012 hingga hari ini.

“Jika saman tidak perlu ke mahkamah, maka saman tidak ada sebarang kesan dan tidak perlu dibayar walau sesen pun,” katanya.

-NFN-

 


Pengarang :