SELANGOR

Khalid Samad: Angkara ‘macai kangkung’, lebih 2,000 rakyat terpedaya

Oleh : SIRAJ ZAINI

SHAH ALAM, 23 JAN: Sebaran maklumat palsu melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan aplikasi Whatsapp kononnya terdapat program pembiayaan rumah tanpa faedah oleh kerajaan negeri minggu lalu, mengakibatkan lebih 2,000 pemanggil terpedaya dengan maklumat tidak benar itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata usaha pihak tidak bertanggungjawab itu menyatakan kerajaan negeri membuka peluang kepada semua rakyat Selangor memohon skim pembiayaan perumahan (PURSE) tanpa faedah sehingga RM350,000 dengan menyertakan alamat pejabat dan nombor telefon pegawai khasnya, Mohd Jamil Abdul Rahim.

“Antara syarat yang dinyatakan di dalam maklumat palsu itu adalah pemohon berusia antara 18 hingga 45 tahun, berpendapatan RM 7,000 dan ke bawah, tidak memiliki sebarang unit kediaman di Selangor serta keutamaan akan diberi kepada pemohon yang sudah berkahwin,” katanya.

khalid samadKhalid di dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini, menyatakan sehingga kini masih ada orang ramai yang menelefon pegawainya bertanyakan berkenaan maklumat itu, bahkan ada yang sanggup datang sendiri ke pejabat.

Katanya, fitnah itu adalah usaha pihak tertentu untuk memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor sehingga menyebabkan lebih 2,000 masyarakat termakan mainan politik jahat berkenaan.

“Sejak Isnin (20 Januari) lalu, lebih 2,000 yang menelefon pegawai saya, bukan setakat orang Selangor tetapi ada dari Johor, Melaka, dan juga penjawat awam termasuk Pegawai Pejabat Daerah sendiri yang bertanyakan berkenaan kesahihan maklumat itu,” katanya.

Bagaimanapun, Khalid berkata, setiap panggilan yang masuk akan diberikan penerangan secara lebih jelas dan berharap orang ramai yang sudah tahu kebenaran di sebalik maklumat palsu itu menyebarkan kepada orang lain.

“Kita beri layanan baik dan ksudah buat laporan polis, tetapi ia mengubah cabaran kepada peluang iaitu menerangkan kepada orang ramai bahawa sebaran itu hanya mainan politik pihak lawan,” katanya.

iskandar-samad-pink-01Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad menafikan kerajaan negeri terbabit dengan program itu dan menyifatkan sebaran maklumat palsu berkenaan sebagai usaha terdesak pihak terbabit untuk memburukkan imej PR.

Iskandar berkata, usaha itu juga berkemungkinan untuk membangkitkan kemarahan rakyat dalam usaha menyebabkan mereka kurang percaya dengan kredibiliti pentadbiran kerajaan negeri.

Pada masa sama, Khalid berkata, semua rakyat Selangor digesa supaya meneliti dahulu setiap maklumat dan mendapat kesahihannya di dalam web portal kerajaan negeri sebelum mempercayainya.

-NFN-


Pengarang :