SELANGOR

Khalid Samad : Tindakan Chin Cheh jauh beza berbanding fenomena lompat parti 2009

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 JAN: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengucapkan tahniah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas kemampuan memilih calon yang mempunyai komitment begitu tinggi bagi membawa aspirasi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

Hal itu dibuktikan apabila bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh sanggup berkorban dengan melepaskan jawatannya demi memastikan kerajaan PR Selangor dapat dipertahankan daripada segala ancaman Barisan Nasional (BN).

khalid samad“Chin Cheh bukan sekadar tidak menjual kerusinya dan melompat tetapi sanggup mengosongkan atas permintaan partinya sendiri.

“Ini perbezaan yang begitu besar dengan fenomena lompat parti, pada 2009. Dahulu melompat dan khianat, tetapi sekarang selepas PRU-13 beliau menunjukkan tahap akhlak berjemaah yang begitu tinggi sehingga sanggup mengorbankan kerusi atas arahan parti,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, di sini, hari ini.

Khalid berkata, tindakan demikian amat bertentangan dengan amalan di kalangan pemimpin BN yang sentiasa berebut untuk mendapatkan jawatan termasuk kerusi ADUN.

“Kalau BN, bukan sahaja susah untuk lepaskan kerusi jika diarahkan, tetapi akan berebut untuk mendapatkannya dengan sogokan dan sebagainya. Berbeza dengan Chin Cheh kerana sanggup berkorban,” katanya.

Beliau turut menggesa pengundi di Kajang tidak mempersiakan pengorbanan Chin Cheh dengan memastikan kemenangan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ADUN yang baru.

-NFN-


Pengarang :