SELANGOR

MB : HORAS mampu bekal air bersih lebih 600 juta liter sehari

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 JAN: Dalam usaha memberi penerangan berhubung pelan penstrukturan semula industri air di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempengerusikan sendiri sesi taklimat pertama, di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Abdul Khalid antara lain menegaskan bahawa kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan projek HORAS (Hybrid Off River Augmentation System) yang dijangka mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 juta liter sehari.

Katanya, HORAS juga bertindak sebagai jaminan bekalan air berterusan sementara menunggu Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) bertujuan menyusun semula industri perkhidmatan air di Selangor.

mb“Kerajaan Persekutuan kini tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan Seksyen 114 itu tetapi kita tahu caranya.

“Sebab itu, kita sudah bersedia dengan perkembangan selanjutnya dan pada masa sama bersedia dengan syarat tertentu jika Langat 2 ingin diteruskan,” katanya di hadapan wakil rakyat dan parti komponen sempena sesi taklimat khas berkenaan.

Kerajaan negeri sebelum ini membuat tawaran kepada empat syarikat konsesi iaitu SYABAS, ABBAS, Splash dan Puncak Niaga sebanyak RM9.65 bilion bagi mengambil semula pengurusan air di Selangor.

Bagaimanapun, jumlah tawaran itu tidak dipersetujui syarikat konsesi yang menuntut bayaran RM13 bilion.

“Kerajaan negeri memerlukan RM1.5 bilion setahun untuk pembiayaan pemberian air percuma. Bermakna kalau ikut kehendak mereka, kita tidak boleh melaksanakan program air percuma selama enam hingga tujuh tahun.

“Ini kerugian kepada rakyat, maka kita tidak akan ikut kehendak mereka,” katanya.

Pada akhir sesi taklimat, beliau turut menyatakan hasrat untuk mewujudkan pusat panggilan khusus memberi peluang kepada rakyat bertanyakan sebarang soalan berhubung pelan penstukturan semula industri air di Selangor.

-NFN-


Pengarang :