Selangorkini
KENYATAAN MEDIA

MB: JAIS diminta dapatkan pengesahan KDN

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah memanggil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk memberi penerangan berkenaan pemeriksaan yang dibuat terhadap pejabat Persatuan Bible Malaysia (Bible Society of Malaysia) pada minggu lalu.

Setelah mendengar taklimat jabatan berkenaan, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jais untuk mendapatkan pengesahan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika kitab-kitab yang diambil daripada Persatuan Bible Malaysia memenuhi Resolusi 10 Perkara isu kalimah “Allah” yang ditetapkan oleh Kabinet.

DSC_7230Antara syarat Resolusi tersebut termasuk membenarkan mengimport, mengguna dan mencetak bible bahasa Melayu.

Sekiranya KDN berpuashati penerbitan kitab-kitab ini memenuhi Resolusi 10 Perkara, Kerajaan Negeri akan mengarahkan Jais untuk memulangkan semula kitab-kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia.

Pada masa yang sama, Jais perlu meneruskan siasatan secara profesional sambil mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian.

Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira semangat Resolusi 10 Perkara dan juga Seksyen 9 Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988 yang menyatakan adalah menjadi satu kesalahan untuk orang bukan Islam menggunapakai beberapa perkataan termasuk perkataan “Allah” dalam mana-mana tulisan dan penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Selangor dan Jais untuk memastikan penguatkuasaan pada masa hadapan dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab.

Kita juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan ketua-ketua agama bukan Islam untuk pemahaman Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.

Kerajaan Negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan akan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan DYMM Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM

DATO’ MENTERI BESAR


Pengarang :