KENYATAAN MEDIA

MB: Pengurus Besar dan Setiausaha PKNS akan dipanggil untuk beri keterangan

Kerajaan Negeri mengambil maklum kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung keahlian dan pengguguran Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Kita berpandangan bahawa kenyataan beliau itu mencerminkan sikap pemimpin yang berjiwa besar.

pkns 2Dengan mengambil kira kedudukan dan status beliau, Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) merasakan perlu mempertimbangkan permintaan beliau sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

Perlu ditegaskan Menteri Besar dan barisan EXCO terikat kepada Enakmen PKNS dan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara ini.

Justeru, Pengurus Besar dan Setiausaha Syarikat PKNS akan dipanggil untuk menerangkan mengapa keadaan sedemikian berlaku hingga melarat menjadi konflik.

Sebelum keputusan muktamad dibuat oleh EXCO, kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh Pengurus Besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan.

Oleh kerana perkara ini bukan isu terdesak yang melibatkan kepentingan orang ramai, Kerajaan Negeri meminta rakyat supaya bersabar dan tidak mempercayai sebarang spekulasi sehingga keputusan EXCO dibuat.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Pengarang :