SELANGOR

MB: Pusat Giat MARA perlu baiki struktur bangunan dalam setahun

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 15 JAN : Pusat Giat MARA Selayang perlu memperbaiki struktur bangunannya dalam masa setahun dan boleh beroperasi seperti biasa sekiranya mempunyai dana mencukupi untuk operasi pusat itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sekiranya Pusat Giat MARA itu tidak mahu meneruskan operasi, mereka boleh mengosongkan premis dan Kerajaan Negeri akan memberi peluang kepada syarikat lain bagi mewujudkan pusat latihan industri penerbangan.

PC EXCO Jan 2013 MB 01Katanya, notis setahun diberi baru-baru ini adalah bagi memantau operasi pusat itu dan jika tidak menepati kehendak Kerajaan Negeri maka tapak itu perlu dikosongkan.

“Dalam masa tiga atau empat tahun akan datang, akan ada sistem perakaunan negara dengan setiap negeri bukan sahaja menyediakan akaun disatukan dalam bentuk penerimaan dan bayaran tetapi menyediakan laporan tentang aset dan hasil Kerajaan Negeri.

“Kerajaan negeri menyediakan satu pasukan ‘task force’ tanah untuk menjelajah setiap daerah untuk mengenal pasti dan membuat laporan tentang tanah milikan Kerajaan Negeri.

“Banyak bangunan kita dapati didirikan atas tanah kerajaan, salah satunya ialah Giat MARA ini yang sepatutnya dibina sebagai dewan orang ramai tetapi akhirnya dijadikan bengkel untuk pusat latihan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Bangunan SUK, di sini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri banyak membantu golongan Melayu di negeri itu berbanding Kerajaan BN sebelum ini dengan pelaksanaan dasar yang adil kepada semua kaum.

“PR negeri sudah membelanjakan RM800 juta menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk diberikan kepada rakyat.

“Berdasarkan fakta melalui MES, kajian kita dapati dari 2008 hingga kini, kita jauh lebih banyak membantu golongan Melayu seterusnya India dan Cina,” kata Abdul Khalid.

EZY


Pengarang :