KENYATAAN MEDIA

MB utus takziah pemergian Almarhum Datuk Harun Taib

Berita yang diterima awal pagi tadi benar-benar mengejutkan semua pihak di negara ini, khususnya para pendokong PAS, dan Pakatan Rakyat umumnya.

Pemergian tokoh terkemuka ini pastinya amat-amat dirasai memandangkan jasa almarhum yang cukup banyak kepada masyarakat.

downloadMinat dan kecenderungan almarhum dalam lapangan pendidikan sebenarnya telah memberikan jasa yang tidak terhitung jumlahnya.

Khabarnya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang kini telah menjadi sebahagian daripada pendidikan awal alternatif di Malaysia, juga adalah hasil buah fikiran tokoh pendidik dan pendakwah ini.

Kecenderungan dalam mendidik masyarakat ini beliau lanjutkan dengan penubuhan Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI).

Bermula dengan usaha persendirian, walau dengan segala macam dugaan dan cabaran, pusat pengajian tinggi Islam ini telah mampu melahirkan aktivis masyarakat, para pendakwah dan ahli agama yang berjasa pula kepada masyarakat lainnya.
harunTuntas, kehidupan tokoh ini telah diperuntukkan untuk berbakti sepenuhnya pada ummah. Dan peluang menjadi Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Pendidikan & Dakwah Islamiyyah sewaktu berada di dalam kerajaan negeri Terengganu telah dimanfaatkan sebaiknya untuk menambahbaik sistem pendidikan dan dakwah di negeri Abdul Rahman Limbong itu.

Patah tumbuh hilang berganti. Kita berharap akan lebih ramai lagi tokoh pendakwah dan pendidik muda yang akan tampil untuk mengisi kelompangan yang ditinggalkan almarhum.

Lantaran itu marilah sama-sama kita berdoa agar segala usaha dan pengorbanan almarhum beroleh ganjaran yang terbaik di sisi-Nya. Al-Fatihah..

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Pengarang :