SELANGOR

MBSA anjur Festival Budaya Mahasiswa 23-28 Jan cungkil bakat baru

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 22 JAN : Dalam usaha untuk memartabatkan seni dan budaya di kalangan anak muda, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam akan menganjurkan Festival Budaya Mahasiswa bermula pada 23 hingga 28 Januari ini.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjuran festival ini bertujuan mencari bakat baru dalam bidang kebudayaan dan kesenian untuk diketengahkan bagi melahirkan pengamal seni yang berbakat, cemerlang dan berpengetahuan dalam bidang seni yang diceburi.

MBSASelain itu, kata Shahrin penganjuran festival kali ini juga memberi peluang kepada para pelajar dan orang ramai menonjolkan bakat seni yang terpendam dalam diri mereka.

“Festival ini merupakan salah satu agenda sempena program Tahun Melawat Malaysia 2014 yang bakal menarik pelancong dalam dan luar negara bagi mempelajari dan menghayati persembahan seni tanah air.

“Ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Shah Alam sebagai sebuah bandar raya yang kaya dengan budaya,” kata Shahrin dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai untuk hadir di UiTM Shah Alam bagi memeriahkan festival yang akan bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam dan masuk adalah percuma.

“Acara kemuncak akan berlangsung di Dewan Sri Budiman dengan pelbagai persembahan kesenian seperti muzikal, penyampaian puisi dan tarian.

“Sementara itu, persembahan teater pula akan berlangsung di Dewan Resital Panca Sakti, Bangunan Budisiswa (HEP), UiTM Shah Alam,” katanya lagi.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Kebudayaan MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail di talian 013 350 7888.

EZY


Pengarang :