SELANGOR

MBSA buka kaunter sepanjang cuti

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 28 JAN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membuka kaunter bayaran pada hari cuti sepanjang bulan Februari 2014 bagi memudahkan pemegang harta melangsaikan cukai taksiran masing-masing.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata pembukaan kaunter dibuat bagi memberi peluang dan membantu para pemegang harta di bawah pentadbiran MBSA membuat sebarang urusan dan pembayaran pada hari cuti.

MBSAKatanya, selain di Wisma MBSA, kaunter bayaran juga dibuka di pejabat MBSA cawangan di Sungai Buloh, di Kota Kemuning dan juga di Setia Alam.

“Sepanjang Februari ini, kaunter akan dibuka pada setiap hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.

“Dengan usaha ini diharapkan orang ramai dapat mengambil peluang dan kesempatan hari cuti untuk melangsaikan cukai taksiran mereka,” kata Shahrin dalam satu kenyataan.

Kaunter bayaran akan dibuka pada minggu pertama Februari iaitu pada 1 dan 2 haribulan, minggu kedua (8 dan 9 haribulan), minggu ketiga (15 dan 16 haribulan) serta pada minggu terakhir (22 dan 23 haribulan).

Bagi sebarang pertanyaan berhubung semakan dan pembayaran cukai taksiran, orang ramai boleh hadir membuat urusan di Jabatan Pengurusan Hasil dan Pelaburan, MBSA atau boleh menghubungi talian 03-5522 2882.

EZY

 


Pengarang :