SELANGOR

MBSA : Trek basikal bakal dibuka dalam masa terdekat

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 7 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini dalam proses akhir menyediakan laluan trek basikal sejauh hampir 10 kilometer sekitar bandar raya itu yang dijangka akan mula dilancarkan dan dibuka kepada orang awam, selewat-lewatnya Februari ini.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata inisiatif itu diambil bagi memupuk gaya hidup sihat di kalangan warga Shah Alam, khususnya mereka yang gemar dengan aktiviti berbasikal.

Katanya, selain menjadi trek laluan basikal, laluan sama juga boleh digunakan untuk aktiviti jogging di kalangan warga Shah Alam.

MBSA-Shahrin Ahmad“Kebiasaannya, pada hari minggu atau cuti persekolahan, kita dapat lihat ramai warga Shah Alam yang berbasikal di laluan jalan raya biasa.

“Atas sebab itu, MBSA usahakan laluan trek basikal ini khusus untuk mereka menjalankan aktiviti riadah bersama rakan dan keluarga dalam keadaan yang lebih selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi temubual di studio TV Selengor dalam rancangan Selangorku Bersama MBSA, khusus bagi membicarakan program MBSA sepanjang tahun 2014.

Shahrin berkata, laluan trek basikal itu juga dilengkapi besi penghadang, ‘outdoor gym’, penanda arah jalan, jambatan kecil dan pondok rehat di lokasi terpilih.

Antara kawasan laluan trek adalah sekitar Masjid Negeri, Taman Tasik Shah Alam, Taman Kesenian Islam dan Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

peta trek basikal mbsa“Setiap laluan bersambung antara satu sama lain dan memberi kemudahan selesa kepada masyarakat untuk berbasikal atau berjogging.

“Harapan MBSA supaya setiap warga bandar raya ini mempunyai ruang dan kemudahan selesa bagi menjalani gaya hidup sihat serta sejahtera,” katanya.

-NFN-


Pengarang :