SELANGOR

Gagal baharui permit, MPS rampas 3 pemancar telekomunikasi

Oleh : LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 30 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenakan tindakan merampas struktur pemancar telekomunikasi milik sebuah syarikat akibat gagal memperbaharui permit, sejak tiga tahun lalu.

Pegawai Perhubungan Awam MPS, Ahmad Fauzi Ishak, berkata tindakan itu adalah amaran keras terhadap syarikat berkenaan yang gagal memperbaharui permit yang bernilai RM 2,000 untuk setiap tapak.

Fauzi berkata, sebelum ini MPS mengeluarkan dua notis peringatan dan satu notis perobohan sekitar November dan Disember lalu, namun masih gagal dipatuhi.

“Tiga daripada 15 tapak pemancar milik syarikat berkenaan kita rampas sebagai peringatan serta amaran, semalam.

roboh premis Majlis Perbandaran Selayang 02“Sebenarnya, kadar RM2,000 untuk setiap tapak adalah rendah berbanding sebelum pelarasan iaitu RM10,000 namun masih ada antara syarikat yang tidak menjelaskan bayaran,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu juga diambil selaras dengan Seksyen 72 (1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, yang mana syarikat boleh menuntut semula barang rampasan dalam tempoh sebulan namun perlu menjelaskan tunggakan terdahulu.

“Wakil syarikat memang ada menghubungi MPS selepas menerima notis namun sehingga kini tidak ada pembayaran dibuat, maka tindakan tegas perlu diambil,” katanya lagi.

Dalam operasi yang dijalankan itu, tiga tapak pemancar terpaksa diturunkan dan disita membabitkan pusat membeli-belah Selayang Mall, Wisma Nadi dan bangunan Lee.

Operasi yang diketuai Juru Ukur Bahan MPS, Zanariah Md Zain itu juga mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pemilik bangunan yang bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

-NFN-


Pengarang :