NASIONAL

Najib perlu berhenti lantik duta khas

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM 3 JAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa untuk berhenti secara serta merta daripada melantik duta dan penasihat khas yang dibayar mahal.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata Barisan Nasional (BN) juga perlu menjelaskan rasional di sebalik perlantikan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sin sebagai duta khas berstatus menteri yang terbaru di Asia Timur.

Sim Tze TzinTze Tzin berkata, Malaysia mempunyai duta professional yang berfungsi dengan baik di negara Asia Timur seperti Korea dan Jepun.

“Dengan keadaan fiskal kewangan yang ketat dan hutang kerajaan pusat yang akan mencecah 55 peratus KDNK, apakah perlu kita berbelanja dalam melantik seorang lagi duta khas?

“Perdana Menteri mengumumkan 11 langkah pengurangan kos kerajaan (austerity measures), baru-baru ini. Beliau harus mengumumkan langkah ke-12 iaitu penghapusan semua duta dan penasihat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan perlantikan Datuk Seri Tiong King Sin sebagai Duta Khas di Asia Timur.

Kini, Perdana Menteri mempunyai empat duta khas dan 13 penasihat khas yang kebanyakannya berstatus menteri dan ia membabitkan jumlah paling banyak dalam sejarah Malaysia.

Pada sesi Parlimen lalu, Tze Tzin membawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9), peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2014 bagi Jabatan Perdana Menteri untuk memotong gaji duta khas berjumlah RM980,179.20 (RM27,227.20 x 3 orang x 12 bulan).

“Usul tersebut berjaya diluluskan Speaker untuk dibahaskan, satu perkara yang cukup luar biasa. Malangnya, ia ditentang habis-habisan oleh ahli dewan daripada BN dan usul ditolak,” katanya.

Mengikut jawapan Parlimen, selain menikmati elaun dan kebajikan setaraf dengan menteri, seorang duta khas mendapat gaji bulanan RM27,227.20 lebih tinggi daripada menteri.

Mereka juga diberi pejabat yang dibiayai kerajaan, bahkan ada di kalangan mereka diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

-NFN-


Pengarang :