SELANGOR

Noh Omar dicabar anjur debat kalimah Allah dalam masa 10 hari

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 JAN: Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar diberi masa selama sepuluh hari untuk mengatur semula sesi debat berhubung isu kalimah Allah yang sepatutnya berlangsung di Kompleks Karangkraf, di sini, pada 27 Januari lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata cabaran itu dikemukakan berikutan kesungguhan Noh yang kononnya bersedia untuk ‘menyekolahkan’ beliau berhubung isu berkenaan.

Khalid-Samad editBeliau turut mencadangkan supaya sesi debat itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen supaya rakyat boleh menilai hujah yang akan dikemukakan.

“Kita buat satu debat antara saya dengan dia serta moderator. Ia perlu dibuat secara langsung supaya rakyat dapat tengok siapa yang hebat atau siapa pandai bercakap.

“Kalau nak tunjuk kehebatan, datang seorang tidak perlu bawa rakan atau penyokong. Saya bersedia untuk disekolahkan oleh Noh Omar tetapi harap dia akan sekolahkan saya secara pasca ijazah bukan tahap darjah enam,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Khalid berkata, jika Noh gagal memberi sebarang respon dalam tempoh ditetapkan, beliau bersedia menjadi tuan rumah untuk menganjurkan debat berkenaan pada waktu dan tarikh yang sesuai.

Terdahulu, Akhbar Sinar Harian bertindak membatalkan debat isu kalimah Allah antara dua tokoh politik terkemuka itu selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Noh sehingga mendorongnya mengadakan bantahan di hadapan Kompleks Karangkraf bagi menuntut penjelasan daripada pihak editorial.

NOH OMAR PIX NOMengulas perkara itu, Khalid menyifatkan Noh sengaja menimbulkan gimik politik dan menganggap ia sebagai satu lagi drama kangkung daripada Umno.

Katanya, pembatalan sesi debat itu sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak penganjur melalui sistem pesanan ringkas atas faktor keselamatan.

“Kami sudah menerima SMS pada malam itu bahawa debat dibatalkan tetapi Noh sengaja ingin buat drama dengan penyokongya konon dia datang tetapi saya tidak datang.

“Kalau dia betul-betul ingin debat itu diteruskan, kenapa datang petang? Patutnya pagi lagi beliau sudah datang dan menuntut supaya ia diteruskan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :