NASIONAL

Pakatan Rakyat ulangi kesedian bincang dengan BN isu kepentingan rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi mengulangi kesediaan berbincang bersama pimpinan Barisan Nasional (BN) mencari jalan penyelesaian isu kepentingan rakyat membabitkan tekanan masalah ekonomi dan perkauman.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perbincangan itu penting bagi mengelakkan sebarang isu ketegangan kaum dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

PR media“Kita ingin jelaskan isu ekonomi, kemiskinan, kenaikan harga barang adalah isu rakyat.

“Tidak harus diputar belitkan dan menakut-nakutkan rakyat termasuk yang dikaitkan dengan isu kangkung itu mahu dikaitkan dengan tragedi 13 Mei.

“Selalunya yang menjadi mangsa adalah rakyat bawahan, sebab itu kami (PR) menggesa Perdana Menteri yang merangkap Pengerusi BN segera menyambut saranan ini,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Ibu Pejabat PAS di sini, hari ini.

Kata Anwar, beliau tidak keberatan untuk menulis surat jemputan kepada pimpinan BN untuk tujuan perbincangan itu jika ia diperlukan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sidang media sama membidas kenyataan pihak tertentu cuba untuk membangkitkan peristiwa 13 Mei.

Katanya, bukan sahaja DAP malah semua pihak termasuk PKR dan PAS tidak mahu peristiwa itu berulang kembali.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata isu himpunan membantah kenaikan harga barang sehingga mencetuskan kontroversi itu bukan bertujuan untuk menimbulkan isu perkauman.

“Kami orang Melayu di Pulau Pinang tidak terpanggil langsung bahawa isu kangkung adalah isu perkauman.

“Ia adalah isu ekonomi, kemiskinan dan kenaikan harga barang yang melemaskan BN Pulau Pinang sehingga mereka memainkan isu perkauman,” katanya lagi.

EZY


Pengarang :