NASIONAL

PAS tidak yakin Najib tunai janji letak SPR bawah Parlimen

SHAH ALAM, 18 JAN : PAS hari ini menyatakan rasa tidak yakin mereka terhadap kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah jawatankuasa khas Parlimen seperti dicadangkan bekas menteri.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata demikian sebagai respon kepada seruan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah supaya SPR dipimpin pihak yang tidak mewakili BN.

mahfuz omarBeliau berkata, saranan Saifuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Temerloh itu pasti dipandang remeh kerajaan pusat, sekali gus menjadikan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan perkara berkenaan sebagai ‘janji kangkung’.

“Macam-macam Najib janjikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu seperti tidak menaikkan kadar tol, elektrik dan petrol.

“Namun, semuanya dimungkiri. Sebab itu satu dunia akan terkejut kalau Najib setuju SPR diletakkan di bawah Parlimen,” katanya memetik portal Harakahdaily.

Terdahulu, Najib dilaporkan pernah berjanji untuk memperkukuhkan kewibawaan dan kredibiliti SPR dengan memindahkannya kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

najib mugshot interview 01Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, gesaan supaya SPR diletakkan di bawah jawatankuasa Parlimen sudah lama dilakukan PAS sejak bertahun lalu bagi memastikan professionalisme agensi itu dapat berdiri teguh.

Beliau yakin tuntutan itu akan dibantah BN kerana Najib memerlukan SPR untuk memihak kepada parti itu bagi memastikan kemenangan terus memihak kepada mereka.

“Dahulu orang kata Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah perdana menteri paling lemah tetapi apa yang berlaku kini menujukkan Najib paling lemah dan dia lebih memerlukan SPR berbanding semua perdana menteri sebelum beliau,” katanya.

 


Pengarang :