KENYATAAN MEDIA

Penahanan pasangan Malaysia di Sweden amat dikesali

Oleh : Nik Nazmi Nik Ahmad

Penahanan Azizul Raheem Awaluddin, Pengarah Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya, Shalwati Nurshal kerana dilaporkan memukul anak mereka yang berusia 12 tahun kerana tidak mendirikan solat adalah dikesali.

Tambah pula dilaporkan bahawa pasangan ini telah pun ditahan lebih sebulan sementara keempat anak mereka dipindahkan ke rumah jagaan keluarga bukan Islam.

nik nazmiAnak mereka telah meluahkan hasrat untuk dijaga oleh keluarga Islam di dalam pertemuan mereka dengan Kedutaan Malaysia dan Perkhidmatan Sosial Sweden. Keluarga jagaan mereka turut menyokong hasrat ini. Saya menghargai usaha semua pihak di dalam mendapatkan kebenaran untuk saudara-mara pasangan itu bertemu anak-anak mereka.

Kes ini nampaknya timbul akibat ketidakfahaman antara budaya. Sememangnya kita perlu menghormati undang-undang sesebuah negara namun pada masa yang sama negara tuan rumah sewajarnya sensitif terhadap pelaksanaan undang-undang dan tidak mengambil tindakan yang keterlaluan.

Saya berharap isu ini diselesaikan segera untuk kepentingan semua pihak yang terbabit.

# Nik Nazmi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia merangkap Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor


Pengarang :